Jurutera mengaku tidak salah memandu dalam keadaan mabuk

Surintheran dibawa keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.
Surintheran dibawa keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.
A
A
A

AMPANG - Seorang jurutera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh dua kereta dan seorang pesara polis pada 26 Jun lalu.

Tertuduh, S Surintheran, 42, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Mengikut pertuduhan, Surintheran didakwa memandu kenderaan di Bandar Melawati Persimpangan Jalan Bandar Melawati di Lorong Perak, Taman Melawati di bawah pengaruh alkohol melebihi kadar iaitu 243/100 miligram melebihi 163/100 miligram dan melebihi kadar dibenarkan iaitu 80/100 miligram jam 8.30 malam pada 26 Jun lalu.

Tertuduh gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan terhadap dua kenderaan serta menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelanggan, Mohd Rose Hassan, 63, di medan selera di Taman Melawati.

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah peruntukkan yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun dan maksimum 10 setahun dan denda tidak kurang RM8,000 serta maksimum RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria.

Nur Intan Syakieraah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam A Venkateswari memohon jaminan berikutan anak guamnya menanggung isteri, dua anak dan ibu bapa yang uzur.

Venkateswari juga berkata, anak guamnya juga bersedia memberi kerjasama kerana ia merupakan kesalahan pertama yang dilakukan dan dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tarikh 5 Ogos depan ditetapkan bagi sebutan semula kes.