X

Kindly register in order to view this article
!

Skuad remaja wanita tekad lakar kejutan

Jurulatih skuad hoki remaja wanita mahu membuktikan keupayaan pasukannya menjadi pasukan hoki pertama layak ke Piala Dunia Remaja Wanita 2021 yang dijadualkan di Afrika Selatan.
A
A

ANAK didik Lailin Abu Hassan tekad mahu bukti keupayaan mereka kepada peminat sukan tanah air dengan menjadi pasukan hoki pertama layak ke Piala Dunia Remaja Wanita 2021 yang dijadualkan di Afrika Selatan.

Lailin yang dilantik selaku ketua jurulatih hoki remaja wanita sejak awal tahun ini percaya skuad bimbingannya mampu memberi saingan sengit sekali gus berada dalam kelompok tiga terbaik pada kejohanan kelayakan di Piala Remaja Wanita Asia 2020 nanti.

“Malaysia sekarang berada dalam ranking lima terbaik Asia jadi tidak mustahil untuk kita cipta sejarah di Piala Remaja Wanita Asia nanti. Pemain juga ada tunjuk semangat juang yang tinggi, mereka yakin dengan diri mereka untuk lakukan yang terbaik,” katanya hari ini.

Piala Remaja Wanita Asia 2020 yang dijadualkan dari 6 hingga 12 April di Kakamigahara, Jepun ditunda ke satu tarikh yang masih belum diputuskan lagi berikutan penularan Covid-19 di negara itu.

Kemungkinan tarikh baharu adalah selepas Sukan Olimpik 2020 dan sebelum 31 Disember 2020 kerana Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menetapkan semua pengesahan kelayakan ke Piala Remaja Dunia 2021 pada akhir tahun 2020.

“Jika kejohanan diteruskan pada bulan April lepas, memang masa agak suntuk untuk persiapan. Bila berlaku penundaan ini, sekurang-kurangnya saya dapat menilai prestasi setiap pemain dengan lebih baik dan merangka perancangan perlawanan yang teratur,” katanya.

Lailin berkata, pemilihan bagi skuad remaja wanita negara dilakukan pada Mac lalu, namun latihan terpaksa dihentikan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac.

Katanya, empat pemain yang pernah beraksi bersama pasukan senior turut terpilih untuk membantu pasukannya kali ini. Mereka ialah Nur Maizatulhanim Syafi Sheik Fuad, Nur Amirah Syakirah Zulkifli, Kiran Deep Kaur dan Siti Zulaikha Husain.

Pasukan remaja wanita yang ditempatkan di Majlis Sukan Negara (MSN) akan mendaftar pada 5 Julai ini dan latihan bermula semula pada 6 Julai.

“Saya harap empat pemain itu boleh menjadi contoh dan bimbing pemain lain. Semua pemain kena kembali kepada latihan asas dari segi kecergasan kerana sudah lama tidak ada latihan yang betul,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!