X

Kindly register in order to view this article
!

MTUC cadang pekerja tempatan dibayar gaji RM2,700

J Solomon
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kadar gaji bulanan pekerja tempatan di bandar-bandar besar ditetapkan sebanyak RM2,700 sebulan.

Menurut Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, penetapan gaji itu antara langkah yang boleh diambil kerajaan dan majikan bagi memastikan tiada kekurangan tenaga kerja dalam sektor yang menggunakan ramai pekerja asing.

"Kita yakin negara tidak akan berdepan masalah menggunakan tenaga rakyat tempatan bagi menggantikan pekerja asing, jika mereka dibayar setimpal dan keadaan kerja bertambah baik.

"Ribuan rakyat tempatan bekerja dalam sektor pekerjaan 3D (kotor, sukar dan berbahaya) di luar negara, antaranya di Singapura, Australia dan Korea Selatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 22 Jun lalu, Kementerian Sumber Manusia mengumumkan langkah pengambilan pekerja asing dalam semua sektor dibekukan hingga hujung tahun ini dan peluang pekerjaan kini diutamakan kepada penduduk tempatan.

Pada ketika ini, terdapat seramai dua juta orang pekerja asing yang berkhidmat dalam pelbagai sektor di negara ini.

Sementara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah melarang pengambilan pekerja asing di pasar borong Kuala Lumpur dan kekosongan tersebut diisi oleh warga tempatan.

Dalam pada itu, Solomon berkata, pekerja sektor 3D juga wajar diambil secara tetap bagi memastikan layak menerima pelbagai faedah disediakan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Kita perlu menuju ke arah tangga gaji berasaskan kos sara hidup di sesebuah kawasan contohnya di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang gaji bersih tidak boleh kurang daripada RM2,000 sebulan.

"Jabatan Tenaga Kerja (JTK) juga perlu efektif dalam pemeriksaan dan penguatkuasaan akta bagi melindungi pekerja, selain kerajaan perlu memberi insentif kepada majikan yang menggaji rakyat tempatan menggantikan pekerja asing.

"Covid-19 menyaksikan sektor pekerjaan gagal beroperasi tanpa pekerja. Justeru, biarkan majikan lebih berperikemanusiaan, selain gaji pihak atasan perlu dikurangkan dan diseimbangkan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus