Saya tidak berkomplot di belakang: Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - "Saya tidak berkomplot di belakang seperti 'sesetengah yang lain', semuanya saya maklumkan kepada Majlis Pakatan Harapan (PH)," kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika diajukan Sin Chew Daily berhubung pertemuannya dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin baru-baru ini.

Menurut laporan Malaysiakini yang memetik akhbar berkenaan, Anwar memaklumkan semua pertemuannya dengan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tidak disembunyikan.

"Saya laporkan kepada majlis (presiden PH bulan lalu) tentang pertemuan itu, malah ada juga pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ini juga saya beritahu.

"Pertemuan dengan Hamzah lebih kepada perbincangan mengenai hal semasa dan perkara berkaitan Kementerian Dalam Negeri, selain menyampaikan pandangan pembangkang," katanya.

Anwar bagaimanapun dilaporkan tidak mengulas siapa yang dimaksudkan dengan 'sesetengah yang lain'.

Terdahulu, Hamzah dilaporkan mengakui pertemuannya dengan Anwar baru-baru ini dan menyifatkannya sebagai pertemuan peribadi individu yang sudah lama tidak berjumpa dan tidak perlu dihebahkan kepada umum.

Sementara itu, pendedahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mencalonkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri kesembilan sekiranya PH Plus mengambil alih kerajaan secara tidak langsung membongkar pertemuan secara tidak formal yang diadakan beliau bersama beberapa pemimpin DAP dan Amanah berkenaan hal itu pada 25 Jun lalu di rumah Tetamu Sabah, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan: