X

Kindly register in order to view this article
!

119 samseng jalanan, 43 pemandu mabuk ditahan sejak Januari

Polis dan JPJ melaksanakan Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk di sekitar daerah Kajang malam tadi.
A
A

KAJANG - Seramai 119 individu yang terbabit dalam kegiatan lumba haram dicekup dan 41 kertas siasatan dibuka sepanjang Op Samseng Jalanan di sekitar daerah ini sejak 1 Januari sehingga malam tadi.

Selain itu dalam tempoh sama, seramai 43 individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, operasi ini akan dilakukan secara berterusan dari masa ke masa.

"Sejak awal tahun ini, kita telah membuka 41 kertas siasatan melibatkan 119 tangkapan membabitkan samseng jalanan manakala 43 kertas siasatan melibatkan tangkapan 43 pemandu mabuk.

"Pada minggu ini sahaja kita telah menahan enam pemandu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya kepada pemberita dalam operasi sekatan jalan raya di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di sini malam tadi.

Beliau berkata, semakan mendapati kebanyakan mereka yang ditahan terlibat dalam kesalahan samseng jalanan adalah berusia di bawah 20 tahun.

Dalam operasi di empat lokasi berasingan di sekitar daerah Kajang bermula jam 11 malam hingga 2 pagi, sebanyak 121 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Katanya, seramai 259 pengguna jalan raya serta 251 kenderaan termasuk motosikal dan lori telah diperiksa.

"Op Mabuk dan Op Samseng Jalanan ini dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf