Awas, jerat resit palsu

Noradila (kanan) bersama sepupunya menunjukkan resit palsu menyebabkan dia kerugian RM200.
Noradila (kanan) bersama sepupunya menunjukkan resit palsu menyebabkan dia kerugian RM200.
A
A
A

TUMPAT - Dengan menggunakan resit pembelian palsu, seorang lelaki aktif menipu peniaga di beberapa daerah di negeri ini.

Sasarannya premis kecil-kecilan dengan memperdaya pekerja kedai mahu mengambil bayaran dengan menunjukkan resit palsu.

Sebelum menjerat mangsa, suspek akan bertanya sama ada tauke ada di kedai atau tidak.

Semalam, seorang peniaga kosmetik dan cadar di Kampung Bunohan terpedaya dengan mondus operandi suspek.

Noradila Mamat, 33, berkata, ada seorang lelaki menunggang motosikal masuk ke kedainya dalam keadaan tergesa-gesa pada jam 4 petang.

"Dia tanya saya mana tauke, saya jawab tauke tak ada.

"Dia terus keluarkan resit tunai meminta bayaran pembelian kosmetik, dia beritahu komestik sudah diserahkan kepada tauke kedai yang merupakan adik saya sendiri," katanya.

Menurutnya, curiga dengan lelaki itu dia arahkan sepupu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada adiknya tetapi tidak dibalas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam masa sama juga lelaki itu berpura-pura dapat bercakap dengan adiknya dan memberitahu duit perlu diambil di kedai ini.

"Ragu-ragu dengan lelaki ini, saya cuba menelefon sekali lagi adik saya, tetapi anak kecil saya pula meragam.

"Lelaki itu pula nampak tergesa-gesa, entah macam mana saya terus menyerahkan wang RM200 dan lelaki itu keluar menunggang motosikal Modenas Kriss warna hitam," katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya menerima mesej daripada adik tidak membeli apa-apa kosmetik daripada mana-mana pembekal tetapi sudah terlambat kerana lelaki itu sudah beredar tanpa sempat melihat nombor pendaftaran motosikalnya.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa peniaga kerugian dalam nilaian kecil apabila terpedaya dengan resit palsu jenis yang sama termasuk tulisan tangan suspek.

Di fahamkan sebelum ke Bunohan, suspek cuba menjerat peniaga di Bunut Susu, Pasir Mas tetapi gagal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Suprintendan Ab Rashid Mat Daud mengesahkan menerima satu laporan polis berhubung kes di Kampung Bunohan.