L'Oreal tidak lagi guna perkataan 'pemutihan'

Antara produk pemutihan wajah yang dikeluarkan L'Oreal. - Foto: Agensi
Antara produk pemutihan wajah yang dikeluarkan L'Oreal. - Foto: Agensi
A
A
A

PARIS - Syarikat kosmetik gergasi di Perancis, L'Oreal hari ini mengumumkan ia tidak lagi akan menggunakan perkataan 'pemutihan' pada produk keluaran mereka susulan protes antirasisme yang sedang melanda seluruh dunia.

"L'Oreal Group memutuskan untuk memadamkan perkataan 'mencerahkan' dan 'memutihkan' pada kesemua produk wajah kami," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Pengumuman itu dibuat selepas Unilever di India dan Bangladesh kelmarin memutuskan untuk menamakan semula krim memutihkan wajah, Fair & Lovely atas sebab sama.

Menurut Unilever yang memperoleh keuntungan kira-kira AS$500 juta (RM2.1 bilion) hasil jualan produk itu di India pada tahun lalu, mereka enggan lagi menggunakan perkataan 'cerah' kerana jenama tersebut komited untuk meraikan kesemua warna kulit.

Sejak akhir-akhir ini, beberapa syarikat termasuk L'Oreal telah dikritik kerana memasarkan produk memutihkan kulit selepas gerakan Black Lives Matter kini mendapat perhatian global.

Minggu lalu, Johnson & Johnson memaklumkan ia akan menghentikan keluaran beberapa produk Neutrogena dan Clean & Clear yang diiklankan untuk mengurangkan tona kulit gelap pada wajah di Asia dan Timur Tengah.

Beberapa kumpulan di Amerika juga menyatakan kesediaan untuk mengubah identiti visual seperti Mars yang merancang mengembangkan jenama terkenal Uncle Ben's yang menggunakan karikatur kulit hitam sebagai logo mereka. - AFP

Artikel Berkaitan: