PRK dalam tempoh PKPP beri kelebihan kepada BN

Bendera BN mula memenuhi kawasan Bandar Dara Chini ketika kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini. - Foto Bernama
Bendera BN mula memenuhi kawasan Bandar Dara Chini ketika kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini. - Foto Bernama
A
A
A

PEKAN - Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini telah berjalan selama tujuh hari sehingga semalam yang memperlihatkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain telah jauh ke depan berbanding dua calon Bebas.

Dengan tempoh berkempen berbaki seminggu lagi, kesemua calon dijangka meningkatkan kempen masing-masing bagi memancing sebanyak mungkin sokongan pengundi.

Meskipun kempen PRK kali ini dibuat dalam keadaan normal baharu, Mohd Sharim, 41, ketika ini dilihat mendahului bukan sahaja dari segi aktiviti kempen tetapi juga penerimaan ditunjukkan pengundi dan penduduk di DUN Chini, sama ada di kawasan Gugusan Felda Chini, kampung tradisional dan kampung orang asli.

Awal-awal lagi faktor sebagai anak tempatan dan generasi kedua Felda di Chini memberikan kelebihan untuknya, apatah lagi apabila Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon pada PRK itu.

Calon BN, Mohd Sharim, ketika ini dilihat mendahului bukan sahaja dari segi aktiviti kempen tetapi juga penerimaan ditunjukkan pengundi dan penduduk di DUN Chini. - Foto Bernama
Calon BN, Mohd Sharim, ketika ini dilihat mendahului bukan sahaja dari segi aktiviti kempen tetapi juga penerimaan ditunjukkan pengundi dan penduduk di DUN Chini. - Foto Bernama

Dari segi isu, calon Bebas yang tidak didukung secara terus oleh mana-mana parti memang tidak dapat mengetengahkan isu besar kerana isu seperti masalah air dan elektrik bagi penduduk Felda dan kampung Orang Asli merupakan isu yang sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan secara berterusan, begitu juga isu melibatkan generasi kedua Felda.

Bagi penganalisis politik, Md Shukri Shuib, PRK dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebenarnya memberi kelebihan kepada calon BN apabila menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah.

“Bayangkan kalau rakyat susah semasa PKP, sudah tentu pembangkang boleh memanipulasi dan mengambil kesempatan. Sudah tentu juga populariti pembangkang akan naik.

Artikel Berkaitan:

“Tapi bila kita lihat kepada PRK Chini yang tenang dan lancar. Itu merupakan isyarat awal rakyat terhadap penerimaan pengurusan yang dibuat kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Md Shukri berkata, sekiranya BN memenangi PRK Chini, ia boleh menjadi indikator buat kerajaan PN bagi menentukan tahap kepuasan hati rakyat di samping menentukan kejayaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul berkata, BN perlu melipatgandakan usaha membantu memperkukuhkan kerajaan baharu, yang mula terbentuk sejak Mac lalu menerusi kemenangan PRK Chini.

“Ini bukan sahaja mencatat sejarah apabila diadakan dalam normal baharu tetapi juga menjadi 'ujian pertama' buat kerajaan PN, selain kesinambungan kerjasama Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas, yang mula terbentuk sejak PRK Parlimen Cameron Highlands.

“Tidak salah saya katakan nafas PN sebenarnya bermula dari Chini,” ujar beliau.

Katanya, hasil pemerhatiannya mendapati pengundi di DUN Chini masih tegar memberikan sokongan kepada BN dan sudah pastinya tiada masalah untuk meningkatkan majoriti pada kali ini.

“Sebagai parti kerajaan, pastinya calon BN dari UMNO itu mempunyai banyak kelebihan yang menjadikan mereka lebih menyerlah berbanding calon lain, ditambah pula calon merupakan anak tempatan dan kenal selok-belok kawasan dan permasalahan setempat,” katanya.

Saingan BN pada hari pengundian 4 Julai ini adalah dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang kempen mereka lebih dilihat berprofil rendah berbanding calon BN.

Terdapat 20,990 pengundi berdaftar, termasuk 18 pemilih awal dalam DUN Chini yang merupakan kubu BN sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004 menerusi penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu. - Bernama