X

Kindly register in order to view this article
!

Agihan kerusi bakal gugat persediaan PN hadapi PRU15

Fahmi Fadzil
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) dijangka berdepan masalah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan banyak pertembungan berlaku dalam gabungan itu.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, tidak mustahil akan berlaku pergaduhan politik terutama melibatkan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas berkaitan isu agihan kerusi menjelang PRU15.

“Saya lihat akan ada isu pergaduhan, tapi bukan bertumbuk, ia lebih kepada pergaduhan politik tentang siapa yang akan bertanding di kerusi Jeli dan Masjid Tanah umpamanya.

“Keadaan rumit seperti itu akan timbul dalam kalangan gabungan PN tapi tidak menjadi masalah besar buat kami dalam PH (Pakatan Harapan),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian susulan wujud gesaan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15.

Terbaru, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta Perdana Menteri segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan berikutan ketidaktentuan politik.

Gesaan itu turut disokong Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berpandangan PRU15 harus diadakan seawal tahun depan bagi memulihkan kestabilan politik di Malaysia.

Fahmi berkata, PKR bersama rakan pembangkang dalam PH sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk PRU tergempar.

“Kami sudah tentu lebih menekankan kepada aspek persediaan jentera serta rundingan kerusi.

“Kami juga berpendirian mandat rakyat perlu dipulangkan kerana ia hak mereka yang membuat keputusan pada PRU14,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!