Azmeer belum terfikir soal bersara

Azmeer mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan yang saya ceburi termasuk membina sebuah Pusat Pengajian Islam di Alor Setar.
Azmeer mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan yang saya ceburi termasuk membina sebuah Pusat Pengajian Islam di Alor Setar.
A
A
A

BEKAS tonggak pertahanan Kedah, Azmeer Yusof tampil menjelaskan kekeliruan berhubung kenyataannya ketika mengumumkan keputusan untuk mengundur diri daripada skuad Lang Merah.

Menurut Azmeer, dia tidak berhasrat untuk terus bersara daripada arena bola sepak profesional, sebaliknya hanya menamatkan kontrak dengan Persatuaan Bola Sepak Kedah (KFA).

“Apa yang saya maksudkan dengan berundur itu adalah saya tidak menyambung kontrak yang sepatutnya tamat pada 30 November ini. Saya menghantar surat kepada pihak pengurusan KFA pada 29 Mei lalu bagi memaklumkan perkara tersebut.

“Pihak pengurusan KFA terima dengan baik. Buat masa ini, saya mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan yang saya ceburi termasuk membina sebuah Pusat Pengajian Islam di Alor Setar.

“Disebabkan itu saya perlu berjumpa dengan ramai orang khususnya mereka yang lebih arif dalam soal ini. Jadi saya buat keputusan untuk off (berehat) sekejap daripada bola sepak supaya saya boleh selesaikan urusan pembinaan Pusat Pengajian Islam itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menerusi laman media sosial Instagram peribadinya kelmarin, Azmeer, 30, yang pernah beraksi bersama Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur memberitahu, keputusannya meninggalkan Kedah bukan disebabkan masalah gaji tetapi kerana mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan.

Mengulas berhubung masalah tunggakan gajinya yang masih belum selesai, Azmeer berkata, pihak pengurusan KFA bersedia menjelaskan ‘hutang’ tersebut sebelum 30 Jun ini.

Bagaimanapun, Azmeer berkata, dia tidak mengetahui mengenai status gaji bekas rakan-rakan sepasukannya kerana KFA hanya memaklumkan mengenai pembayaran tunggakan gajinya.

Artikel Berkaitan:

“Diharapkan KFA dapat memenuhi janji membuat pembayaran sehingga gaji bulan Mei. Tetapi saya bukannya menuntut sepenuhnya, sebab saya faham KFA tengah susah.

“Tetapi tuntutan saya itu berbeza sikit kerana saya minta lebih rendah. Mungkin inilah caranya saya dapat tolong KFA. Saya harap KFA juga dapat beri kerjasama menjelaskan pembayaran sehingga Mei,” jelasnya.