Messi belum terfikir gantung but

Messi (kiri) mahu menikmati karier bola sepaknya sebaik mungkin kerana belum memikirkan masa untuk bersara. - Foto EPA
Messi (kiri) mahu menikmati karier bola sepaknya sebaik mungkin kerana belum memikirkan masa untuk bersara. - Foto EPA
A
A
A

BINTANG sensasi, Lionel Messi mendedahkan belum memikirkan untuk bersara daripada arena bola sepak, sebaliknya mahu menikmati sebaiknya setiap saat baki kariernya sehingga ke tempoh tertentu.

Kapten Argentina berusia 36 tahun itu menandatangani kontrak dua setengah tahun dengan Inter Miami bulan lalu, namun dia memaklumkan belum memikirkan masa depannya selepas berakhir kontrak tersebut.

Dalam satu temu bual dengan Apple TV, Messi menyatakan berasa seronok beraksi di padang dan mahu terus aktif sehingga satu tempoh yang tidak diketahui.

“Sejujurnya saya belum memikirkannya (bersara). Saya suka bermain, seronok mengawal bola di atas padang, bersaing dan terus berlatih.

“Saya tidak tahu berapa lama lagi saya akan beraksi. Saya akan terus aktif semampu yang boleh dan kemudian akan melihat situasi semasa.

“Masih ada masa untuk berfikir, menganalisis dan memilih,” kata pemenang Ballon d'Or tujuh kali itu.

Pemenang Piala Dunia bersama Argentina itu memenangi trofi pertamanya bersama Inter Miami dengan kemenangan ke atas Nashville menerusi penentuan penalti dalam aksi final Piala Liga.

Pemain berusia 36 tahun itu sudah meledak gol ke-10 selepas tujuh perlawanan sejak berhijrah ke kelab Florida itu.

Artikel Berkaitan:

Malah Messi mendedahkan pengalamannya bersama Inter Miami setakat ini membuatkannya yakin bahawa dia membuat keputusan yang tepat selepas kontraknya bersama Paris Saint-Germain (PSG) tamat.

“Ini adalah keputusan bersama keluarga untuk berhijrah ke Miami. Kami melalui dua tahun yang rumit (di PSG), pasukan juga tidak bermain dengan baik, kami agak bergelut.

“Ia seperti kembali kepada suasana ketika berada di Barcelona (apabila berada di Miami), ​​menikmati hari demi hari bersama anak-anak dan keluarga,” katanya.