Trend permintaan hartanah 2019

A
A

TREND penurunan harga rumah dijangka berterusan sekurang-kurangnya untuk tempoh separuh pertama tahun ini walaupun terdapat peningkatan sentimen pengguna dan dasar-dasar kerajaan yang proaktif seperti diumumkan dalam Bajet 2019.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, Indeks Pasaran PropertyGuru mendapati, pertanyaan harga rumah terus menunjukkan trend penurunan sebanyak 2.3 peratus tahun ke tahun.

Menurutnya, indeks itu menganalisis 250,000 hartanah yang tersenarai di PropertyGuru mendapati 1.3 juta rakyat Malaysia mencari hartanah di portal berkenaan.

Bagaimanapun katanya, terdapat peningkatan minat terhadap hartanah di lokasi-lokasi Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

"Walaupun terdapat penurunan dalam permintaan harga, permintaan hartanah di Kuala Lumpur masih kukuh dengan kawasan popular dan yang menjadi keutamaan iaitu Bangsar, Mont Kiara dan Cheras.

"Jenis hartanah yang dicari di ketiga-tiga kawasan itu ialah kondominium, diikuti pangsapuri dan rumah bandar,” katanya.

Jelasnya, ketiga-tiga kawasan itu menjadi tumpuan di Kuala Lumpur kerana harga lebih berpatutan berbanding hartanah bertanah.

"Kebanyakan mereka mencari rumah berharga di bawah RM300,000, yang mana ia sukar didapati kerana banyak hartanah di lokasi ini bernilai lebih daripada harga tersebut,” katanya.

Tambahnya, salah satu cara terbaik untuk memeriksa apa yang dicari adalah dengan menggunakan PropertyGuru Mortgage Pre-Qualifier yang dapat memberikan maklumat kepada pembeli mengenai kelayakan mereka untuk membuat pinjaman dan 99.5 peratus ketepatannya.

Permintaan hartanah Selangor tinggi

Indeks Pasaran PropertyGuru mendapati, permintaan hartanah di Selangor tinggi meskipun harga menurun dengan hartanah di Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya menduduki tempat teratas dalam senarai itu.

Fernandez berkata, hartanah yang dicari ialah kondominium,diikuti pangsapuri dan rumah teres dua tingkat dan melihat kepada pembangunan berorentasikan transit (TOD).

"Terdapat peningkatan yang kuat dalam permintaan untuk hartanah yang terletak di lokasi strategik atau secara langsung dihubungkan dengan laluan MRT dan LRT.

"Faktor lain seperti penyelenggaraan harta benda dan kemudahan gaya hidup akan memainkan peranan bagi pembeli untuk menentukan sama ada ia sesuai, memandangkan pembeli mempunyai banyak pilihan dalam pasaran yang tepu dengan bekalan,” katanya.

3 kawasan perumahan popular

Fernandez berkata, kawasan perumahan paling popular di Pulau Pinang adalah Georgetown, Bayan Lepas dan Tanjung Tokong kerana mudah ke pusat bandar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Penang.

"Pangsapuri dan kondominium adalah jenis harta kediaman paling diingini di kawasan ini, diikuti rumah bandar.

"Pemaju akan terus membina unit lebih kecil, tinggi iaitu 450 hingga 840 kaki persegi, yang menawarkan susunan ruang fleksibel bagi memenuhi segmen demografi berbeza-beza seperti orang dewasa tunggal, pasangan muda, 2+1 keluarga, baru berkahwin, warga tua atau kosong,” katanya.

Beliau berkata, unit-unit ini akan menawarkan perabot menjimatkan ruang bagi membolehkan utiliti ruang lebih besar.

"Unit utama Dual mungkin popular kepada mereka yang ingin bekerja dan hidup di tempat yang sama. Unit bersaiz kecil ini akan dibina dekat dengan pengangkutan awam dilengkapi banyak kemudahan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kawasan perumahan paling popular di Johor adalah Johor Bahru, Nusajaya, dan Bukit Indah.

"Tidak seperti negeri lain di mana pembeli hartanah paling berminat dengan kediaman bertingkat, di Johor permintaan tinggi adalah untuk hartanah bertanah terutamanya rumah teres dua tingkat,” katanya.

Bantu 100,000 rakyat miliki rumah

Fernandez berkata, secara keseluruhan walaupun keadaan pasar yang lembap, keadaan ini sihat kerana terdapat banyak tawaran pembelian dan penyewaan untuk dipilih rakyat Malaysia, dan menggalakkan inovasi juga idea yang lebih baik untuk diperjuangkan berkaitan pembinaan dan reka bentuk, penggunaan spatial, teknologi dan sebagainya.

"Kami berminat dengan pemilikan rumah di Malaysia dan mandat kami adalah untuk memastikan rakyat Malaysia dilengkapi dengan baik mengenai keadaan kewangan mereka, apa yang mereka mampu dan bagaimana memanfaatkan peluang untuk mereka mendapatkan pinjaman rumah, melalui inisiatif ‘Own Your Home’ yang bertujuan membantu 100,000 rakyat Malaysia capai impian memiliki rumah sendiri,” katanya.