Dua lagi jenazah anggota TLDM dibawa pulang ke kampung

Lori tiga tan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dalam perjalanan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Teluk Sepanggar dari Pangkalan TLDM Sandakan telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu Jalan Ranau-Kota Kinabalu Selasa lalu. Foto: Bernama
Lori tiga tan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dalam perjalanan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Teluk Sepanggar dari Pangkalan TLDM Sandakan telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu Jalan Ranau-Kota Kinabalu Selasa lalu. Foto: Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Dua lagi jenazah iaitu Laskar Kelas I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan dan Laskar Kelas I TMK Muhammad Arif Idris dibawa ke kampung halaman masing-masing pagi ini dengan menaiki pesawat C130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pesawat yang membawa dua jenazah itu berlepas jam 9.45 pagi dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu Terminal 2 ke Johor untuk membawa Allahyarham Mohamad Firdaus, 26 tahun.

Penerbangan itu kemudian akan ke Melaka untuk membawa jenazah Allahyarham Muhammad Arif, 26 tahun.

Turut mengiringi jenazah Mohamad Firdaus ialah Lt Rahim Ghozi manakala Lt Muhammad Shahirul Amir Ahmad Shukri mengiringi jenazah Muhammad Arif.

Jenazah telah dimandi dan dikafankan selepas bedah siasat selesai jam 2.00 petang di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, semalam.

Terdahulu, jenazah Laskar Kanan PAP Maslim Abdul Rahim, 35, telah dibawa menaiki helikopter TUDM EC 725 jam 8.05 pagi ke Semporna.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga anggota TLDM maut nahas

Pada Selasa lepas, tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia dari Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 Pangkalan TLDM Sandakan itu maut dalam kemalangan yang berlaku jam 1.03 petang.

Artikel Berkaitan:

Manakala seorang lagi yang cedera Vincent M.Orel, 24, berasal dari Sarawak kini menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu, Sepanggar.

Kesemua anggota yang terlibat dalam nahas itu dalam perjalanan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar dari Pangkalan TLDM Sandakan bagi melaksanakan tugas rasmi. - Bernama