Penyokong Liverpool kekal tenang membilang hari gemilang

MERAK JALANAN

Klopp berjaya membawa dimensi baharu Liverpool sejak berhijrah ke Anfield.
Klopp berjaya membawa dimensi baharu Liverpool sejak berhijrah ke Anfield.
A
A
A

Jika ikut perkiraan matematik, Liverpool sepatutnya sudah menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi. Tetapi malangnya ia hanya satu fantasi dan bukannya realiti.

Sebaik saja EPL kembali bersambung pertengahan minggu lalu, Liverpool hanya perlu memburu dua lagi kemenangan. Sifirnya mudah, enam mata hasil dua kemenangan sudah cukup buat The Reds muncul juara.

Namun, Liverpool terpaksa menangguhkan pesta buat seketika. Ia gara-gara kegagalan mereka mengutip tiga mata berharga ketika menentang Everton awal pagi Isnin lalu.

Tanpa mengambil kira keputusan berdepan Crystal Palace di Anfield awal pagi tadi, Liverpool kini terpaksa menunggu hari dan detik terbaik sebelum ditabalkan sebagai ‘sang juara’.

Melihatkan situasi ketika ini, ada beberapa orang sahabat Merak Jalanan yang sudah pasti bukannya penyokong Liverpool mula bersuara. Soal mereka, bolehkah Liverpool julang trofi EPL musim ini?

Ada lagi yang bersuara lebih sinis. Kata mereka, Liverpool hanya harap ihsan pasukan lain, baru boleh jadi juara liga. Sampai ada juga yang kata, tak mustahil Liverpool kena ‘potong tang kona’.

Merak Jalanan tak terkejut dengan apa yang dikatakan mereka. Semua itu lumrah dan asam garam dunia bola sepak. Bagi penyokong setia, mereka seboleh-bolehnya akan pertahan pasukan kesayangan, begitu juga sebaliknya.

Secara peribadi, Merak Jalanan yang meminati kelab Newcastle United sejak di bangku sekolah dek kehebatan Alan Shearer percaya Jurgen Klopp dan anak-anak buahnya belum terdesak memburu gemilang di pentas EPL musim ini.

Artikel Berkaitan:

Malah, Merak Jalanan yakin penyokong The Reds tetap tenang menunggu saat Liverpool di puncak kemasyhuran.

Jika hampir 30 tahun setia menunggu Liverpool menjulang trofi EPL, apalah sangat bagi mereka menunggu seminggu dua lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!