Latihan mencabar tapi seronok

Pandelela Rinong
Pandelela Rinong
A
A
A

RATU terjun negara, Pandelela Rinong menyifatkan latihan yang dijalani ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah sukar, namun bermakna dalam meningkatkan kecergasan dan kekuatan badan.

Pandelela bersama penerjun kebangsaan yang lain menyertai kem latihan pusat membabitkan atlet program Road To Tokyo (RTT) dengan prosedur operasi standard (SOP) di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2020.

“Ia agak sukar dan ketat kerana kami tidak boleh keluar, perlu berada di kompleks sukan setiap masa tapi tempat ini adalah baik, makanan juga bagus, semuanya baik,” kata penerjun berusia 27 tahun itu ketika dihubungi hari ini.

Mengharapkan sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) segera berakhir, Pandelela berkata, dia tidak mungkin kembali menjalani latihan di China atau menyertai sebarang kejohanan tahun ini, susulan wabak koronavirus (Covid-19).

“Saya rasa tidak ada kem latihan di China tahun ini kerana pandemik Covid-19 dan saya rasa tidak akan ada sebarang kejohanan tahun ini,” katanya.

Katanya, dia gembira dapat menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih baharu, Li Rui dari China yang datang ke Malaysia tahun lalu bagi melatih skuad terjun elit negara dalam persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo.

“Di bawah bimbingan beliau, saya berjaya mengekalkan kecergasan dan prestasi memandangkan Sukan Olimpik Tokyo ditangguhkan ke tahun depan, saya mempunyai lebih masa berlatih di bawah bimbingannya, mengenalinya dengan lebih baik serta beliau juga dapat memahami pasukan negara dengan baik,” katanya.

Pandelela berkata, buat masa ini, dia lebih menumpukan kepada meningkatkan tahap kecergasan serta kekuatan badan selepas menjalani rehat yang panjang dari kolam renang sejak pelaksanaan PKP.

Artikel Berkaitan:

Pandelela layak ke temasya Sukan Olimpik dalam acara 10m platform individu dan seirama yang menjadi penampilan keempat di temasya terbesar dunia itu.

Pandelela meraih pingat gangsa di Olimpik London 2012 dan perak di Rio de Janeiro 2016. - Bernama