'Tukang masak' dadah bergerak ditangkap

Noor Azam (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Noor Azam (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Taktik licik sindiket pengedaran dadah secara bergerak dengan menyewa 'homestay' dalam tempoh tertentu bagi mengelak kegiatan jenayah mereka dihidu pihak berkuasa gagal apabila polis berjaya merampas dadah bernilai RM198,805 dengan tertangkapnya dua individu dalam serbuan di Ampang dan Sungai Buloh, Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dua lelaki berusia 53 dan 38 tahun yang bertindak sebagai ‘tukang masak’ dadah ditahan dalam serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah teres di Taman Tun Abdul Razak, Ampang dan banglo di Sungai Buloh.

“Suspek berusia 53 tahun yang juga merupakan jurujual kereta terpakai ditahan bersama dua peket plastik lut sinar disyaki heroin seberat 26 gram dan satu paket lut sinar syabu dengan anggaran berat 13 gram,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut Noor Azam, pihaknya turut merampas dua beg plastik mengandungi 20 peket plastik lut sinar dadah jenis heroin seberat kira-kira 900 gram dan satu kotak coklat turut berisi dadah yang sama seberat 13,000 gram (13 kilogram) di dalam sebuah Toyota Alphard milik suspek yang diparkir dalam kawasan rumah tersebut.

“Empat kenderaan termasuk motosikal jenis BMW KT 1800 dan wang tunai berjumlah RM4,000 dirampas dan siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak bekerja, menjalankan kegiatan pemproses dadah untuk pasaran sekitar Lembah Klang," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis turut menahan seorang lelaki pada Isnin lepas kira-kira jam 12.30 tengah hari di Puchong Jaya, Serdang dekat sini.

Suspek yang berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah kawasan tempat letak kereta di Bandar Puchong Jaya.

"Pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui satu beg kertas mengandungi lima bungkusan plastik lut sinar disyaki (mengandungi) dadah jenis ketamin seberat 5,100 gram (5.1 kg) bernilai RM229,500," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata Noor Azam, ketiga-tiga suspek bagi kesemua kes terbabit kini direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya (ADB) 1952.