X

Kindly register in order to view this article
!

11 kakitangan Risda didakwa buat tuntutan palsu

Antara yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana membuat tuntutan palsu dua tahun lepas.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 11 pegawai dan kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah keseluruhan RM2,254.65 dua tahun lalu.

Bagaimanapun kesemua tertuduh berusia antara 28 hingga 49 tahun yang bertugas di Risda Kemaman mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, mereka yang masing-masing berjawatan Gred N11 hingga Gred G32 dan W32 didakwa membuat tuntutan palsu berkait bayaran sewa hotel dan perjalanan dalam negeri serta kesalahan pemalsuan bernilai antara RM20 hingga RM380.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Risda Kemaman sekitar April 2018.

Dengan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Seksyen sama.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Yasmin Salleh.

Manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela Hayat Muhamad daripada Mohd Hayyatuddin & Co.

Sejurus pengakuan salah mereka direkodkan, mahkamah menetapkan esok sebagai tarikh untuk jatuh hukum sementara membenarkan kesemuanya diikat jamin antara RM2,000 hingga RM3,000.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!