Bapa mengaku tidak bersalah dera bayi

Laporan Sinar Harian pada 22 Jun lalu.
Laporan Sinar Harian pada 22 Jun lalu.
A
A
A

KANGAR - Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak kandungnya yang berusia 2 bulan, minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 39 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai pesawah didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Pauh Indah, Arau pada 8.30 pagi, 18 Jun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali yang mengendalikan pendakwaan meminta mahkamah tidak memberi jaminan berikutan bimbang tertuduh akan mendera mangsa lagi.

Bagaimanapun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nur Diyana Ab Shukor yang mewakili tertuduh merayu diberikan jaminan dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan RM300 sebulan dan mempunyai empat lagi anak termasuk masih bersekolah.

Ainul Shaharin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai penahanan seorang lelaki pada 18 Jun lalu selepas polis menerima laporan daripada seorang doktor di Klinik Kesihatan Arau berhubung kecederaan yang dialami seorang bayi termasuk di bahagian belakang kepala yang disyaki akibat didera. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tampar, lambung anak usia 2 bulan ditahan