Kilang kitar semula hangus dijilat api

Api marak dan cepat merebak berlaku disebabkan terdapat bahan mudah terbakar di dalam kilang terbabit.
Api marak dan cepat merebak berlaku disebabkan terdapat bahan mudah terbakar di dalam kilang terbabit.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebuah kilang memproses bahan kitar semula musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Jalan Pangkalan di sini pagi tadi.

Kilang kelas B dengan anggaran keluasan 200x150 kaki persegi itu hangus keseluruhannya dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, sebaik menerima laporan kejadian berkenaan beberapa pasukan bomba dari lima balai bomba berhampiran bergegas ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

Menurutnya, bahan mudah terbakar yang terdapat di dalam kilang terbabit menyebabkan api marak dan cepat merebak hingga menyebabkan keseluruhan kilang terbabit musnah.

"Seramai 70 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda, Bukit Mertajam, Penanti, Perai dan Kepala Batas serta beberapa pasukan bomba sukarela terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran.

"Walaupun berdepan beberapa kekangan termasuk tiada pili bomba di sekitar kawasan kejadian namun pasukan penyelamat dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke kilang bersebelahan kira-kira jam 4.58 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Anggota bomba memadamkan kebakaran.
Anggota bomba memadamkan kebakaran.

Jurucakap berkenaan berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.30 pagi dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pasukan forensik kebakaran masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami oleh pemilik kilang terbabit.