Ronaldo beri Sanchez talian hayat

Alexis Sanchez
Alexis Sanchez
A
A
A

PEMAIN berstatus bintang Manchester United, Alexis Sanchez kini boleh menghela nafas lega apabila ditawarkan talian hayat bagi meneruskan karier bola sepaknya yang seakan malap.

Perkhabaran gembira itu hadir selepas legenda Brazil, Ronaldo menawarkan tempat kepada pemain yang kini dipinjamkan bersama gergasi Serie A, Inter Milan untuk menyertai kelab La Liga, Real Valladolid.

Ronaldo yang memiliki 82 peratus kepentingan dalam Pucela optimis aura Stadium Jose Zorrilla mampu mengembalikan semangat pemain berusia 31 tahun itu ke landasan kecemerlangan seperti ketika bersama Arsenal dan Barcelona sebelum ini.

"Sanchez akan memberi impak kepada setiap kelab diwakilinya kerana dia seorang pemain yang cukup berkualiti.

"Sekiranya dia kurang menyerlah di Manchester United atau Inter Milan, saya mengalu-alukan kehadirannya ke Real Valladolid," katanya yang juga presiden kelab.

Pemain Chile itu sebelum ini berdepan dengan prestasi tidak menentu berikutan kecederaan dialaminya sekali gus menyekat penampilan baik di Old Trafford atau San Siro.

Situasi itu juga menyebabkan timbul desas-desus I Nerazzurri akan mengkaji semula status khidmat penyambungan pinjaman Sanchez musim depan.

Sementara itu, bekas tonggak tengah berpengaruh The Red Devils, Paul Ince menyifatkan keputusan Sanchez untuk berkhidmat di Old Trafford sebelum ini sebagai tindakan kurang bijak.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan menyertai Manchester United merupakan satu kesilapan, saya percaya Sanchez tentunya berharap dapat menyertai Manchester City seperti sepatutnya.

"Manchester United bukanlah pilihan yang tepat buat Sanchez, gaya permainan The Red Devils tidak kondusif buat Sanchez apatah lagi dia begitu terdesak untuk menghasilkan impak.

"Lihat sahaja impak Bruno Fernandes apabila tiba di Old Trafford, itulah yang cuba Sanchez lakukan dan sepatutnya lakukan.

"Tapi Sanchez tidak mendapat minit perlawanan yang sepatutnya dan sering berada di posisi yang bukan serasi dengannya sebelum ini. Jadi apabila dia kembali beraksi dan cuba mempengaruhi rentak permainan semuanya tidak memberi impak positif kepadanya," katanya.