X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 01 Disember 2021

MIC Perak tuntut tiga kerusi DUN

V Elango
A
A

IPOH - MIC Perak berhasrat menuntut kembali tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diserahkan kepada UMNO pada dua pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

Tiga kerusi DUN tersebut ialah Behrang, Pasir Panjang dan Hutan Melintang yang telah diberi laluan kepada calon UMNO pada PRU13 dan 14.

Pengerusinya, Datuk V Elango berkata, sudah tiba masanya MIC mengambil semula ketiga-tiga kerusi tersebut kerana pihaknya mempunyai keyakinan tinggi untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan pada PRU akan datang.

"Jadi, saya fikir sudah sampai masanya untuk kami menuntut balik tiga kerusi yang diserahkan kepada UMNO kerana kita yakin mampu untuk mendapatkan kemenangan di kawasan tersebut bagi memastikan ada wakil bukan Melayu dalam pentadbiran kerajaan negeri," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, beliau berkata, MIC Perak kecewa dengan kerajaan Perak ketika ini kerana tiada wakil bukan Melayu dilantik dalam pentadbiran kerajaan negeri untuk memastikan kaum berkenaan diberi perhatian sewajarnya, selain tiada wakil MIC menjawat jawatan penting termasuk dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Katanya, sebelum ini terdapat jawatan Penasihat Khas Menteri Besar Perak untuk menjaga kepentingan kaum bukan Melayu namun tiada jawatan seumpama itu diwujudkan ketika ini.

"Pengorbanan demi pengorbanan telah kita lakukan untuk BN namun kita sedikit terkilan kerana ia tidak dihargai.

"Ketika Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), BN dan Pas memerintah Perak, tidak ada jawatan penting di dalam kerajaan negeri mahupun GLC diberikan kepada MIC," katanya.

Pada PRU12, MIC masih meletakkan calon di tiga kerusi DUN berkenaan namun kesemua kerusi tersebut tewas di tangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Ketika itu, Datuk M Ramasamy tewas kepada calon PKR, Jamaluddin Mohd Radzi dengan majoriti 3,252 undi bagi kerusi DUN Behrang.

Di DUN Hutan Melintang, MIC turut kecundang di tangan PKR apabila S Kesavan dari PKR menewaskan S Thangasvari dengan majoriti 1,721 undi manakala di kerusi DUN Pasir Panjang, Datuk Dr S Vasan tewas kepada calon Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Bagaimanapun pada 2013, BN mengubah formula dengan meletakkan calon UMNO bertanding di kerusi DUN Behrang dan DUN Pasir Panjang manakala mengekalkan calon MIC di kerusi DUN Hutan Melintang.

Hasilnya, PRU13 menyaksikan BN berjaya merampas kerusi DUN Behrang dengan kemenangan Datuk Rusnah Kassim menewaskan calon PKR, Abdul Hadi Khatab dan DUN Pasir Panjang yang diwakili Datuk Rashidi Ibrahim berjaya menyingkirkan calon Pas, Rohawati Abidin, namun kekal tewas di kerusi DUN Hutan Melintang apabila Kesavan berjaya mengekalkan kemenangan untuk PKR dua penggal berturut-turut.

Formula sama digunakan BN pada PRU14 dengan meletakkan calon UMNO bertanding di Hutan Melintang dan berhasil apabila Datuk Khairuddin Tarmizi menewaskan calon PKR, G Manivanan dan calon Pas, Misbahul Munir Masduki dengan majoriti 741 undi.

Bagaimanapun, dua kerusi DUN yang menang sebelum ini iaitu Behrang dan Pasir Panjang gagal dipertahankan apabila Rusnah dan Rashidi masing-masing tewas kepada calon Parti Amanah Negara (Amanah) iaitu Aminuddin Zulkapli dan Yahaya Mat Nor.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!