Ahli politik, penceroboh tanah dan isu rasis

Abdul Hamid
Abdul Hamid
A
A
A

BELUM pun Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mendapat keadilan, semangat rasis orang India diapi-apikan semula oleh Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy.

Kali ini kerana Kuil Sri Maha Mariamman yang terletak dalam halaman Pusat Koreksional Kamunting (Kemta) Taiping telah dirobohkan.

P. Ramasamy berkata, beliau difahamkan kuil tersebut telah dirobohkan oleh pihak berkuasa penjara walaupun terdapat jaminan daripada kerajaan negeri kepada pemilik kuil, Hindu Sanggam Malaysia dan MIC, bahawa ia tidak akan dirobohkan

Beliau seterusnya berkata, “Perikatan Nasional (PN) mungkin tidak terlalu berlainan daripada Barisan Nasional (BN), malah ia mungkin lebih buruk kerana hanya terdapat seorang bukan Melayu sebagai token dalam gabungan itu. Berat sebelah terang-terangan PN terhadap orang bukan Melayu atau bukan Islam mungkin menimbulkan perbezaan antara etnik dan antara agama dalam suasana anti-etnik Malaysia.”

Katanya lagi, “Saya akan melawat tapak tersebut di Taiping dalam masa terdekat untuk memastikan siapa yang bertanggungjawab atas perobohan kuil itu.”

Sebelum kita berbincang apa yang dikatakan oleh Ramasamy, kita perlu ambil perhatian kepada fakta sebenar mengenai tindakan merobohkan kuil itu kerana apa yang dibesar-besarkan adalah betapa tidak adilnya tindakan itu.

Kuil itu dibina di atas tanah kerajaan Persekutuan yang dimiliki Jabatan Penjara. Ia dibina tanpa kebenaran.

Mungkin kerana kasihan, kurang prihatin atau cuai, seperti di merata-rata tanah kerajaan di seluruh negara, kuil itu dibiarkan beroperasi entah berapa lama, sambil ia semakin dibesarkan.

Artikel Berkaitan:

Biar apa pun, kuil itu berada di atas tanah kerajaan secara haram. Orang yang membinanya dan memilikinya adalah penceroboh. Mereka tidak mempunyai apa-apa hak di sisi undang-undang. Kerajaan berhak meroboh kuil itu bila-bila masa.

Masalahnya adalah campur tangan ahli politik. Saya katakan, di negara ini orang politiklah yang menyusahkan dan menjadi penghalang pelaksanaan undang-undang oleh penjawat awam.

Sebagai ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), mereka adalah pembuat undang-undang. Sepatutnya merekalah yang mengkehendaki undang-undang yang mereka buat itu dilaksanakan dengan tegas terhadap orang yang melanggarnya.

Tetapi tidak, kerap kali merekalah yang akan campur tangan untuk mengelak ia dilaksanakan apabila ia mungkin akan menyebabkan mereka kehilangan undi.

Janji ahli politik

Dalam kes ini, daripada kenyataan P Ramasamy itu, kita percaya, apabila kuil itu hendak diroboh, Hindu Sangam Malaysia dan MIC negeri Perak telah membuat representasi, besar kemungkinan kepada kerajaan negeri Perak supaya ia tidak diroboh.

Maka, mengikut beliau, kerajaan negeri (Perak) telah memberi jaminan kepada Hindu Sangam Malaysia dan MIC bahawa ia tidak akan diroboh.

Siapa yang memberi janji sedemikian? Ahli politik negeri Perak? Tanah itu kepunyaan kerajaan Persekutuan. Ahli politik negeri tidak ada bidang kuasa membuat janji sedemikian.

Lagi pula, jika ada janji sedemikian pun, ia tidak akan mengikat kerajaan Persekutuan.

Kita juga percaya, seperti biasa, ahli-ahli politik itu kerana digertak pengundi-pengundi India akan mengundi pembangkang jika kuil itu dirobohkan, kerana takut kehilangan undi dan kalah dalam pilihan raya, akan merayu kepada Jabatan Penjara dan kerajaan Persekutuan supaya tidak merobohnya.

Tidak mustahil, seperti berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya, pemilik-pemilik kuil itu telah ditawarkan pula dengan tanah gantian dan pampasan untuk membina kuil baharu.

Lebih buruk lagi, kita lihat apa yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya yang mengorbankan nyawa Adib itu, setelah menerima tawaran tanah gantian dan wang pampasan, mereka masih enggan berpindah lagi.

Perhatikan bagaimana penceroboh mendapat tanah dan pampasan dengan sokongan parti politik dan NGO mereka dan naifnya ahli-ahli politik Melayu!

Apabila, ia diroboh, melentinglah ahli-ahli politik mereka, menyalahkan kerajaan (PN) atas sebab hanya terdapat seorang bukan Melayu dalam kerajaan PN.

Ertinya, yang disalahkan ialah orang Melayu yang kerana banyaknya dalam kerajaan bersikap rasis dan melakukan ketidakadilan kepada orang bukan Melayu.

Penceroboh menjadi mangsa ketidakadlilan kerajaan yang diterajui orang Melayu yang rasis!

Perhatilah bagaimana fakta diputarbelitkan. Keadaan seperti ini telah menggalakkan beratus-ratus rumah ibadat dibina di seluruh negara, terutama sekali di atas tanah kerajaan.

Atas sebab yang sama juga tiada tindakan diambil. Masalah ini semakin hari menjadi semakin serius.

Satu misalan ialah kuil di Hospital Kuala Lumpur. Saya masih ingat, dalam tahun 1970-an, ia masih kecil, bertiang kayu dan berbumbung zink. Hari ini lihatlah betapa besarnya ukiran-ukiran tokong yang sedang dilakukan.

Kuil di Hospital Kuala Lumpur itu ditutup sekarang, mungkin pembinaannya ditahan. Sampai bila? Takutkah hendak merobohnya? Bagaimana jika berlaku perubahan kerajaan lagi dengan DAP sebagai penerajunya.

Enam puluh tahun BN berkuasa, ia cuai atau tidak berani merobohnya.

Tanah gantian

Tidak hairanlah jika kuil haram itu akan disahkan (legalised) apabila berlaku perubahan kerajaan. Itulah masalah orang Melayu: ada kuasa tidak tahu atau tidak berani menggunakannya, walaupun sah mengikut undang-undang.

Orang yang melanggar undang-undang lebih berani daripada orang yang dilindungi undang-undang.

Saya katakan, kerajaan perlu bertindak tegas: semua rumah ibadat, tidak kira, kuil, tokong, gurdwara, gereja, masjid dan surau (jika ada), atau apa juga, yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan atau tanpa mematuhi undang-undang hendaklah diroboh, tanpa diberi tanah gantian dan/atau pampasan.

Penceroboh perlu diberi pengajaran, seperti di negara lain, bahawa orang yang tidak mematuhi undang-undang tidak boleh mengharap keuntungan daripada perbuatan salah mereka.

Ahli-ahli politik kerajaan hendaklah jangan campur tangan. Mereka perlu tahu untuk apa mereka dipilih dan apa tugas mereka.

Demikian juga ahli-ahli politik pembangkang. Malah, sesiapa yang menyokong dan menggalakkan pelanggaran undang-undang dan mengapi-apikan semangat rasis pihak yang melanggar undang-undang sambil menuduh pihak yang hendak melaksanakan undang-undang dengan sah sebagai rasis dan tidak adil dibawa ke muka pengadilan.

Penjawat-penjawat awam yang ditugaskan melaksanakan tugas-tugas itu perlu berani berdiri tegak dan menolak sebarang campur tangan ahli politik yang cuba menghalang mereka daripada melaksanakan tugas mereka itu.

Amat mendukacitakan, hari ini, moral ahli-ahli politik di negara ini berada di tahap yang paling rendah dalam sejarah. Siang malam, pemimpin-pemimpin parti memikirkan siapa lagi yang boleh ditarik untuk menyertai kumpulan mereka untuk merampas kuasa atau kekal berkuasa.

Ahli-ahli Parlimen dan ADUN sibuk membuat perkiraan sama ada harganya memadai untuk membuat lompatan. Saya akui bahawa mareka adalah kumpulan minoriti, tetapi bilangan mereka telah naik mendadak selepas PRU14.

Dalam hal ini, ahli-ahli Parlimen Pas dan DAP adalah lebih kukuh pendirian mereka. Ini kerana, pada masa ini, mereka berada dalam parti yang kukuh dan mereka tidak ada pilihan lain yang lebih menguntungkan.

Penjawat-penjawat awam perlulah bersikap profesional dan menolak campur tangan ahli-ahli politik yang menghalang pelaksanaan undang-undang kerana kepentingan politik mereka. Pengundi-pengundi hendaklah menolak ahli-ahli politik yang tidak bermoral itu.

Itu sahajalah cara mengajar orang politik supaya menghormati undang-undang supaya mereka dapat dihormati semula. Cara paling berkesan dalam menangani ahli-ahli politik pembangkang adalah dengan tidak melayan mereka. Jika mereka melampaui garisan undang-undang, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan.

Biar apa pun, mereka tidak boleh dibiarkan mengulangi peristiwa di Seafield, Subang Jaya berlaku lagi di kuil Sri Maha Mariamman di Kamunting, Taiping dan lain-lain.

* Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara. Beliau dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1437H/2015M ketika sambutan Maal Hijrah 1437H di Masjid Negara, Kuala Lumpur