[VIDEO] Ainul Mardhiah sudah boleh duduk sendiri

Perkongsian Ahmad Safiuddin menunjukkan Ainul Mardhiah sudah boleh duduk sendiri.
Perkongsian Ahmad Safiuddin menunjukkan Ainul Mardhiah sudah boleh duduk sendiri.
A
A
A
AYER MOLEK - Perkembangan kesihatan kanak-kanak yang pernah tular kerana ketumbuhan dalam mulutnya, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin kini semakin positif dan dilihat boleh duduk tanpa bantuan.

Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 25, di akaun Facebook memberitahu, Ainul Mardhiah sudah mula belajar merangkak dan berdiri serta duduk tanpa bantuan sesiapa.

"Dulu sangkut di bahagian kaki dia tu, tak lepas-lepas nak keluar. Kini sudah nampak dia dah reti keluarkan kaki.

"Alhamdulillah. Umur hampir 2 tahun. Sekarang waktu dia qada' main dia untuk setahun yang lepas.

"Lambat sikit tak apa anak, Insya-ALLAH usaha kamu akan membuahkan hasil di kemudian hari," tulisnya.

Ahmad Safiuddin memberitahu, turut terkejut kerana melihat kanak-kanak itu duduk dan mengeluarkan suara pada jam 4 pagi semalam.

"Ya, jam 4 pagi dan tengah duduk. Cumanya, terkejutlah tiba-tiba kami buka mata, tengok-tengok dia tengah duduk siap cabut oksigen lagi. ALLAH mengucap panjang kami.

"Mana tak risau, dia tidur pakai tiub oksigen, kalau setakat tiub oksigen sahaja tercabut ok lagi. Kalau yang tercabut tu 'trachy'? Mahu tak kecoh pukul 4 pagi tu," katanya.

Menurutnya, sejak peristiwa itu, beliau sentiasa perlu mengawasi Ainul Mardhiah pada waktu malam bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, satu rakaman video menunjukkan Ainul Mardhiah yang merupakan bayi kesayangan rakyat Malaysia itu menarik perhatian ramai.

Ainul Mardhiah sebelum ini menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya seberat 200 gram dikenali sebagai `Germ Cell Tumor' di sebuah hospital kanak-kanak di London, United Kingdom dan bertarung nyawa selama lima jam pada 10 Jun tahun lalu.

Bayi itu pernah menjalani Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di hospital terbabit sebelum pembedahan berkenaan.