X

Kindly register in order to view this article
!

MPM tumpu Sukan Para Asean 2021 Vietnam

Megat D Shahriman Zaharudin
Megat D Shahriman Zaharudin
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) kini akan mengalih perhatian kepada perancangan menuju Sukan Para Asean 2021 di Vietnam, susulan keputusan Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) membatalkan penganjuran temasya Sukan Para Asean 2020 di Filipina.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, satu perjumpaan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), akan diadakan bagi membincangkan persiapan kontinjen, selain lanjutan kontrak atlet yang dijangka berakhir bulan ini.

“MPM syukur dan berasa lega perkara (pembatalan) ini dan kita boleh mula melangkah memikirkan mengenai perancangan tahun depan. Saya akan maklumkan mengenai pembatalan ini, sebelum kami bermesyuarat bersama dan membuat pelan hala tuju baharu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sukan Para Asean 2020 sepatutnya diadakan dari 18 hingga 24 Januari lepas, namun ditangguhkan ke 20 hingga 28 Mac susulan kekangan kewangan dan logistik penganjur, sebelum ia ditangguhkan sekali lagi pada Oktober akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

APSF dalam satu kenyataan semalam, secara rasmi membatalkan temasya Sukan Para Asean 2020 di Filipina, berikutan pandemik Covid-19 dan akan memberi tumpuan kepada penganjuran edisi 2021 di Vietnam.

Megat D Shahriman menjelaskan, pembatalan temasya dwi tahunan itu menyaksikan, kesemua 10 negara dibenarkan untuk menganjurkan kejohanan jemputan sebagai medan menguji prestasi atlet, sebelum menghadapi temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2021 dan Sukan Para Asean 2021 di Vietnam.

“Keputusan (pembatalan) dibuat sebulat suara 10 negara dan kami setuju sekiranya ada negara yang ingin anjurkan kejohanan pada tahun depan.

"Kami (MPM) juga dibenarkan untuk membuat jemputan kepada semua negara Asean bagi persiapan sebelum Sukan Paralimpik dan Sukan Para Asean,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!