Pertukaran pegawai JKOA tiada kaitan politik: Md Farid

A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) menafikan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa kononnya seorang pegawai jabatan itu di Cameron Highland ditukarkan serta-merta kerana lawatan pemimpin kerajaan di kampung Orang Asli tidak mendapat sambutan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik menyifatkan kenyataan Annuar itu tidak berasas seolah-olah mahu mengelirukan rakyat dengan fakta tidak benar.

Sebaliknya, pertukaran pegawai JKOA terbabit yang dikenali sebagai Wahab dari Cameron Highland, Pahang ke Gua Musang, Kelantan telah pun berkuatkuasa pada 12 Januari lalu memandangkan jawatan Gred 22 telah pun disi oleh seorang lagi pegawai dari jabatan yang sama.

"Untuk makluman di Cameron Highlands, dari segi perjawatan Gred 22 hanya ada satu sahaja yang mana ianya telah pun diisi oleh seorang pegawai yang lain.

"Pihak Ibu Pejabat JKOA sebenarnya telah membuat penyelarasan perjawatan yang sama dengan waran gaji melibatkan En. Wahab. Maka sebab itulah beliau ditempatkan di Gua Musang yang ada kekosongan jawatan Gred 22," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Md. Farid, En. Wahab sebelum ini telah beberapa kali telah memohon untuk bertukar tempat bertugas ke Gua Musang sebelum ini.

Dalam pada itu, Dr. Md Farid, pihaknya kesal dengan tuduhan yang dilemparkan oleh Annuar menerusi media sosial Twitter, Sabtu lalu yang seolah-olah mahu memburukkan kerajaan dengan mencetuskan persepsi negatif di kalangan rakyat termasuklah penjawat awam.

"Mungkin kerana ada Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands beliau (Annuar) cuba mengambil kesempatan untuk meraih undi.

"Bagaimanapun, mana-mana pihak tidak boleh menafikan apatah lagi mempolitikkan peranan serta sumbangan para kakitangan JKOA yang sentiasa bertungkus-lumus mewujudkan jambatan perhubungan di antara kerajaan dengan Orang Asli.