Kerajaan belum putuskan isu kontrak bekalan baja subsidi

Ronald Kiandee melakukan Lawatan Kerja ke kilang pemprosesan baja, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd di Gurun, Kedah.
Ronald Kiandee melakukan Lawatan Kerja ke kilang pemprosesan baja, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd di Gurun, Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI- Kerajaan belum memutuskan sama ada meneruskan lanjutan kontrak pembekalan baja subsidi sedia ada atau melalui tawaran tender terbuka.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan pengagihan pembekalan baja subsidi melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Menurutnya, satu perbincangan akan diadakan sebelum sebarang keputusan dicapai memandangkan kontrak pembekalan yang diberikan kepada NAFAS akan tamat tahun hadapan.

"Ketika ini kontrak baja subsidi terutamanya bagi kegunaan pesawah masih dilakukan NAFAS, namun ia akan tamat pada 2021 dan sebarang keputusan masih belum diputuskan,"katanya ketika melakukan Lawatan Kerja ke kilang pemprosesan baja, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) yang merupakan anak syarikat Nafas di Gurun hari ini.

Ronald Kiandee diberi penerangan tentang pembuatan baja di Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd.
Ronald Kiandee diberi penerangan tentang pembuatan baja di Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd.

Hadir sama, Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

"Melihat keupayaan NAFAS dalam teknologi pembuatan baja sejak 2004, saya yakin NAFAS akan terus memainkan peranan dalam pembekalan baja berkualiti secara efektif bagi membolehkan pembayaran dividen kepada pemegang saham yang terdiri daripada peladang sendiri," katanya.

Sebelum ini, isu pembekalan baja telah dibangkitkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu susulan cadangan menawarkan tender secara terbuka namun atas desakan pelbagai pihak, kerajaan memutuskan NAFAS meneruskan kerja-kerja pembekalan baja, seperti dilakukan sejak sekian lama.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, katanya, menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan baja yang dibekalkan NAFAS tidak diseleweng.

"Saya juga ingin menyatakan bahawa Pertubuhan Peladang Kawasan dan agensi kerajaan juga perlu mengambil langkah proaktif termasuk mengemas kini data ahli peladang yang aktif bagi mengelakkan berlaku ketirisan serta memastikan baja sampai kepada petani yang memerlukan," katanya.