Pemandu lawan arus sebabkan kematian dijel lima tahun

Seorang model sambilan dihukum penjara lima tahun dan didenda RM18,000 selepas didapati bersalah kerana memandu melawan arus hingga menyebabkan kematian seorang lelaki dalam kemalangan tiga tahun lalu.
Seorang model sambilan dihukum penjara lima tahun dan didenda RM18,000 selepas didapati bersalah kerana memandu melawan arus hingga menyebabkan kematian seorang lelaki dalam kemalangan tiga tahun lalu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMASKINI] Seorang model sambilan dihukum penjara lima tahun dan didenda RM18,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini kerana memandu melawan arus hingga menyebabkan kematian seorang lelaki dalam kemalangan tiga tahun lalu.

Majistret, Sri Pracha Nanthini Baladebha menjatuhi hukuman itu terhadap Ng Pei Ven, 22, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Pei Ven yang tidak bekerja tetap itu didapati bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Tertuduh dihukum denda RM18,000 dan jika gagal membayarnya, dia berhadapan hukuman penjara 24 bulan. Selain denda, tertuduh juga dihukum penjara lima tahun dari tarikh sabitan.

"Lesen percubaannya juga dibatalkan dan tertuduh hilang kelayakan untuk memohon semula lesen baru dalam masa lima tahun akan datang dari tarikh sabitan," kata Majistret, Sri Pracha Nanthini ketika menyampaikan penghakimannya, hari ini.

Peguam tertuduh, Lim Boon Beng bagaimanapun meminta mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan kes difailkan.

Sri Pracha Nanthini kemudian membenarkan permohonan tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan keputusan didengar di Mahkamah Tinggi.

Beliau menaikkan jaminan RM5,000 kepada RM7,000 yang ditetapkan sebelum ini menjadikan jumlah keseluruhan jaminan RM12,000.

Artikel Berkaitan:

Pada 24 Mac 2017, Pei Ven mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi Rosli, 26, di Lebuhraya Utara Selatan, arah utara pada 7.50 pagi, 14 Mac 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari.

Sementara itu, Pei Ven kelihatan sedih dan menangis ketika berada dalam kandang tertuduh, sebelum keputusan dibacakan.

Dia juga dilihat sering menoleh ke arah ibunya yang duduk di ruang galeri awam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi pada 14 Mac 2017, Mohamad Fandi yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah maut selepas kenderaannya bertembung dengan kereta Proton Gen2 dipandu Pei Ven secara berlawan arus.