X

Kindly register in order to view this article
!

Petanda buruk buat Trump

Trump ketika berucap di Bank of Oklahoma Center di Tulsa dengan berlatarbelakangkan kawasan dalam arena yang kosong. - FOTO: AFP
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam menghadiri perhimpunan di Oklahoma yang menjadi lokasi kegemarannya untuk berkempen sempena Pilihan Raya Presiden AS 2020 buat pertama kali dalam tempoh tiga bulan tanpa menghiraukan ancaman koronavirus (Covid-19).

Acara itu yang pada mulanya dijangka dihadiri sehingga 100,000 penyokong setia Trump gagal mendapat sambutan berikutan ruang arena Bank of Oklahoma Center di Tulsa yang mempunyai 19,000 tempat duduk kelihatan lengang.

Dua jam sebelum acara itu berlangsung, penyokong yang mendaftar awal untuk mendapatkan tiket menerima mesej ‘masih ada ruang kosong’.

Kakitangan yang bertugas juga cemas dengan jumlah penyokong yang sedikit kerana Trump pernah mengancam untuk memecat mana-mana pegawai jika pemimpin itu kecewa dengan keadaan perhimpunan kempen pilihan raya beliau.

“Anda adalah pejuang. Kita ada segelintir orang yang melakukan perkara jahat di luar sana. Tetapi, saya sangat hargai anda,” kata Trump kepada penyokongnya ketika merujuk kepada kerusi kosong angkara perbuatan ‘samseng’ walaupun CNN melaporkan tiada kejadian keganasan di luar arena tersebut.

Presiden AS ke-45 yang berhasrat untuk mengekalkan jawatannya di Rumah Putih itu juga menuding jari menyalahkan media kerana menyebabkan perhimpunan itu kurang mendapat sambutan.

Ketika ini, bilionair hartanah tersebut cuba menghidupkan kembali kempen beliau dan meraih semula sokongan rakyat Amerika dalam tempoh kira-kira lima bulan sebelum pemilihan sengit itu berlangsung pada 3 November depan.

Trump dilihat bakal berdepan cabaran besar berikutan AS sedang menghadapi krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi serta protes antirasisme yang sudah berlarutan selama lebih tiga minggu.

Beliau yang sering mengambil sikap sambil lewa terhadap ancaman Covid-19 dengan selamba turut mengumumkan ‘kejayaannya’ memerangi pandemik yang telah meragut nyawa hampir 120,000 penduduk AS.

“Saya telah melakukan tugas luar biasa untuk menangani wabak itu,” ujarnya dengan yakin walaupun enam ahli pasukan kempen beliau di Tulsa disahkan positif Covid-19 beberapa jam sebelum acara itu berlangsung.

Menerusi pidato bebasnya yang berlangsung selama hampir dua jam, Trump sekali lagi menyasarkan pesaingnya daripada Parti Demokrat, Joe Biden dengan menggelar bekas Naib Presiden itu sebagai ‘boneka haluan kiri yang tidak berdaya’.

“Lima bulan dari sekarang kita akan kalahkan Joe Biden,” ujarnya disambut sorakan penyokongnya yang sebahagiannya didakwa tidak memakai topeng muka dan tidak melaksanakan penjarakkan sosial walaupun kes jangkitan di Oklahoma melepasi 10,000 kes pada akhir minggu lalu.

Idea bodoh Trump

Ketika bercakap tentang tindak balas terhadap ancaman Covid-19, Trump yang masih memandang rendah pandemik itu memaklumkan beliau telah menyarankan para pegawai kesihatan supaya memperlahankan ujian saringan kerana ia menyebabkan lebih banyak kes jangkitan dikesan.

“Ini ialah bahagian yang buruk. Apabila lebih banyak ujian dijalankan, kita akan mengesan lebih banyak kes,” katanya sambil menambah, langkah ujian diagnostik secara komprehensif tersebut telah mengakibatkan AS mencatatkan kes jangkitan Covid-19 tertinggi di dunia.

Difahamkan, pihak berkuasa kesihatan AS telah melakukan lebih 25 juta ujian saringan virus tersebut dan susulan itu lebih 2.25 juta kes jangkitan direkodkan.

Bagi mengelakkan kenyataan itu mencetuskan lagi kemarahan rakyat Amerika, pegawai Rumah Putih bertindak segera menjelaskan Trump kononnya cuma bergurau tentang perkara tersebut.

“Beliau hanya menyelar liputan tidak masuk akal dibuat media tentang ancaman wabak itu. Kita sebenarnya mendahului negara lain di dunia dalam menjalankan ujian saringan Covid-19,” tambahnya.

Sejak awal minggu lalu, kes jangkitan dilaporkan meningkat di beberapa negeri AS termasuk Oklahoma dipercayai berpunca daripada protes antirasisme yang melanda seluruh negara.

Trump juga dilihat cuba mengelak untuk bercakap tentang protes antirasisme dan hanya menyelar tindakan pihak yang cuba menghapuskan tinggalan sejarah Amerika dengan menumbangkan patung kontroversi yang tercetus sejak insiden lelaki kulit hitam, George Floyd dibunuh polis di Minneapolis pada 25 Mei lalu.

“Gerakan sayap kiri cuba melakukan vandalisme ke atas monumen bersejarah dan bertindak ganas ke atas pihak yang enggan mematuhi tuntutan mereka,” ujarnya

Ketika perhimpunan itu, puluhan penunjuk perasaan Black Lives Matter dilaporkan berkumpul dan mencetuskan konfrontasi dengan penyokong Trump, namun tiada insiden keganasan dilaporkan.

Pihak berkuasa bagaimanapun terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan itu yang membuat sekatan untuk menghalang konvoi polis. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!