21 kes baharu, 76 kes sembuh

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah kumulatif kes positif koronavirus (Covid-19) di Malaysia melonjak kepada 8,556 kes selepas 21 lagi kes baharu dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 19 kes membabitkan penularan tempatan dan dua lagi kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Menurutnya, daripada 19 kes penularan di dalam negara, tujuh kes bukan warganegara manakala 12 kes membabitkan warga Malaysia.

"Tujuh kes positif bukan warganegara itu dikesan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8498 dan kes ke-8523. Kesemua mereka merupakan rakan serumah.

"Bagi 12 kes penularan tempatan melibatkan rakyat Malaysia itu, tujuh kes saringan beberapa pusat tahfiz dan madrasah serta masing-masing satu kes daripada Kluster Lanjut, Kluster Warga Emas Kuala Selangor, petugas barisan hadapan (bukan petugas kesihatan), Orang Kena Tahan (OKT) di Seremban dan saringan di dalam komuniti oleh Pejabat Kesihatan Kawasan di Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 76 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad sebanyak 8,146 kes.

"Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian kekal 121 orang," katanya.

Artikel Berkaitan: