Polis tahan enam 'Superman'

Aksi merbahaya yang sempat dirakam di LPT 2. Foto: Polis Hulu Terengganu
Aksi merbahaya yang sempat dirakam di LPT 2. Foto: Polis Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Enam lelaki ditahan polis dalam Operasi Samseng Jalanan kerana menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya dengan mempamerkan aksi 'Superman' di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2), semalam.

Tindakan enam lelaki berusia 18 hingga 36 tahun itu disedari pegawai dan anggota Skuad Khas 42 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Terengganu di kilometer (km) 420-411 (LPT2) Hulu Terengganu-Kuantan, jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, empat daripada enam lelaki itu beralamat di Kelantan manakala dua lagi dari Bandar Permaisuri, Terengganu.

"Berdasarkan siasatan, kesemua tangkapan ini dalam perjalanan konvoi dari Kelantan untuk menikmati ikan baung di Kuala Berang.

"Namun, apabila masuk LPT mereka telah membuat aksi melulu dan membahayakan nyawa," katanya kepada media hari ini.

Menurut beliau, kesemua ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang motosikal secara merbahaya.

Tambahnya, jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000.

"Enam motosikal tersebut melakukan aksi merbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain iaitu bersaing sesama sendiri dan meluruskan kaki selari dengan meter (Superman).

Artikel Berkaitan:

"Enam buah motosikal itu telah ditahan dan dibawa balik ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut," katanya.