Warga emas maut dibunuh pembantu rumah

Polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia. Foto: PDRM
Polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia. Foto: PDRM
A
A
A

IPOH - Seorang wanita warga emas ditemukan mati dengan tiga kesan tetakan dipercayai dibunuh oleh pembantu rumahnya di Lorong Wangi, Happy Garden di sini hari ini.

Mayat mangsa berusia 72 tahun itu ditemui oleh anaknya di hadapan bilik air dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala sekitar jam 11 pagi sebelum membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, suspek dipercayai wanita warga Indonesia berusia 27 tahun yang bekerja di rumah itu sejak setahun yang lalu.

“Ketika kejadian, saksi terlihat suspek keluar dengan membawa sebuah beg dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek keluar dengan memakai baju berwarna merah dan berseluar jeans berwarna biru,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, suspek diambil bekerja oleh anak perempuan mangsa bagi menjaga mangsa dan bapanya yang mengalami masalah strok.

Anuar Othman
Anuar Othman

“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami tiga luka di bahagian dahi sepanjang tiga sentimeter (cm), 6cm dan 9cm dengan satu kesan toreh di bawah mata kanan dan bibir.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa juga mempunyai tiga kesan toreh di bahagian lengan dan siku kanan dan satu torehan di bahagian jari kiri selain lebam di dada,” katanya.

Anuar berkata, polis tidak dapat mengambil keterangan suami mangsa kerana masalah kesihatan yang menyebabkan dia tidak dapat bertutur dengan baik.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan suspek yang telah melarikan diri dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500.