Wanita berpantang kongsi detik cemas rumah terbakar

Mohd Asri (tengah) dan Ridzuan (kanan) meninjau rumah mangsa kebakaran di Telok Chengai, Kuala Kedah hari ini.
Mohd Asri (tengah) dan Ridzuan (kanan) meninjau rumah mangsa kebakaran di Telok Chengai, Kuala Kedah hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang wanita sedang berpantang berkongsi detik mencemaskan apabila rumahnya di Telok Chengai, Kuala Kedah, mengalami kebakaran pada 9 Jun lalu.

Menceritakan mengenai kejadian itu, Izani Ismail, 26, berkata, dia menyedari sebuah bilik di rumahnya dijilat api kira-kira jam 6.30 petang.

Izani berkata, dia terhidu bau asap ketika berada dalam sebuah bilik sebelum keluar untuk melihat keadaan dan mendapati bilik bahagian belakang di rumahnya telah terbakar dan api marak.

"Lalu, saya berlari menyelamatkan diri bersama anak termasuklah bayi baru dilahirkan dari api yang besar dari bahagian bilik belakang rumah itu," katanya ketika menceritakan semula kebakaran itu dalam Program Turun Padang Pegawai Daerah Kota Setar bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Zakat Daerah Kota Setar (PZDKS) di sini hari ini.

Terdahulu, nasib Izani mendapat perhatian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui Pegawai Zakat Daerah Kota Setar (PZDKS), Ridzuan Ahmad ketika sesi turun padang melawat tiga mangsa kebakaran di Telok Chengai dan Hutan Kampung.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Kota Setar, Shahrin Nizar Azudin.

Ridzuan (kanan) bertanya khabar kepada mangsa kebakaran di Telok Chengai, Kuala Kedah di sini hari ini.
Ridzuan (kanan) bertanya khabar kepada mangsa kebakaran di Telok Chengai, Kuala Kedah di sini hari ini.

Katanya, dia bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku, tetapi keseluruhan barangan rumah telah mengalami kerosakan dan kerugian masih dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ridzuan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran itu dari Imam Masjid Al Ummah Mohd Nazimi Zaim Ismail.

Beliau berkata, pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap agar mereka tabah serta redha dalam menghadapi ujian ALLAH SWT.

"Dalam ziarah itu, PZDKS turut menyerahkan Kit Bantuan Makanan Asasi LZNK kepada mangsa dan bantuan susulan akan diserahkan sesudah siasatan penolong amil kariah berkenaan selesai dan borang yang telah lengkap diisi diterima serta disahkan pihak kami," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut berterima kasih atas tindakan masjid berkenaan yang juga mengambil inisiatif dengan mengumpul sumbangan orang ramai untuk disalurkan kepada keluarga mangsa.