RM10 juta tak cukup pacu kembali industri sukan negara

Saingan Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19. (Gambar kecil: Mohd Sadek Mustaffa)
Saingan Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19. (Gambar kecil: Mohd Sadek Mustaffa)
A
A
A

PERUNTUKAN RM10 juta yang terkandung dalam Inisiatif Prihatin Sukan 2020 dianggap masih belum mampu menyemarakkan semula industri sukan negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata, dana RM2 juta untuk bantuan pengurusan kepada persatuan sukan kebangsaan yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) juga disifatkan 'sesuatu yang menyedihkan'.

"Inisiatif Prihatin Sukan 2020 sememangnya berita baik untuk persatuan sukan kebangsaan berdaftar dengan PJS yang terjejas kerana tidak dapat menjalankan sebarang aktiviti sejak hampir tiga bulan akibat Covid-19.

"Cuma jumlah peruntukan RM2 juta kepada persatuan sukan kebangsaan untuk menghidupkan kembali aktiviti mungkin ya, tetapi untuk menyemarakkan semula industri sukan massa agak sukar dalam situasi normal baharu sekarang," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, dengan pelbagai usaha giat dilakukan kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19, tentunya prosedur operasi standard (SOP) untuk sebarang penganjuran sebarang aktiviti liga akan diperketatkan.

"Andai kata terdapat 48 persatuan sukan kebangsaan di negara ini dengan setiap satu persatuan dapat kira-kira RM41,000, bagaimana FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) mahu mengerakkan semula Liga Malaysia? Itu belum lagi pertandingan hoki, badminton, ragbi dan sebagainya.

"Jadi pelbagai usaha dilakukan secara tidak langsung menyebabkan kos penganjuran tidak hanya penganjur tetapi juga atlet atau pasukan bagi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pemain serta pegawai diberikan keutamaan utama," katanya.

Katanya, sekurang-kurangnya sebanyak RM80 juta diperlukan untuk kembali menghidupkan industri sukan negara yang terjejas teruk angkara pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Apabila setiap persatuan sukan kebangsaan mendapat suntikan kira-kira RM4 juta hingga RM5 juta, barulah mereka lebih bermotivasi untuk menyemarakkan semula industri sukan massa tanah air," katanya.

Mohd Sadek berkata, dalam situasi sekarang keadaan menjadi bertambah parah lagi apabila penaja utama dan kecil bagi liga serta pasukan mula mengambil kira faktor kewangan masing-masing akibat ketiadaan promosi sejak hampir tiga bulan lalu.

"Ya memang penaja utama liga dan pasukan memberi komitmen menaja seperti dalam persetujuan bersama, namun harus diingat apabila saingan liga tidak berlangsung sepanjang tiga bulan ini, apakah wajar mereka meneruskan tajaan yang tidak memberikan pulangan hasil kepada produk atau perkhidmatan mereka?

"Ini antara satu lagi perkara yang memberikan impak besar kepada persatuan sukan kebangsaan dalam usaha memayungi serta menjaga kebajikan ahli gabungan mereka," katanya.