Kakitangan di depot tahanan disaring

Semua kakitangan yang bertugas di depot tahanan akan menjalani ujian saringan Covid-19. - Foto Bernama
Semua kakitangan yang bertugas di depot tahanan akan menjalani ujian saringan Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kesemua kakitangan yang bertugas di depot tahanan akan menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) selepas dikenal pasti berisiko tinggi dalam penularan wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, tindakan itu susulan berlaku jangkitan melibatkan orang kena tuduh (OKT) yang ditahan di depot tersebut.

"Selain kakitangan, OKT yang baru tiba dan akan dihantar ke pusat tahanan lain turut akan disaring termasuk mereka yang akan dihantar pulang ke negara masing-masing," katanya.

Menurutnya, sehingga jam 12 tengah hari ini, sebanyak 13,149 individu telah menjalani persampelan.

"782 kes telah dikesan positif, 11,564 adalah negatif dan 803 masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata, daripada 782 kes positif, tujuh adalah warga tempatan dan 775 melibatkan warga asing.

"Setelah kes Covid-19 dikenal pasti, mereka diasingkan dan dimasukkan ke hospital untuk dirawat.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan mengambil tindakan dengan melakukan saringan kes secara aktif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan data yang dikeluarkan, depot tahanan di Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan kes positif Covid-19 tertinggi dengan 651 kes setakat ini.

Ia disusuli dengan depot tahanan di Selangor iaitu 126 kes, tiga kes di Sabah dan dua kes di Melaka.

Orang awam diingatkan agar terus mengamalkan amalan kesihatan seperti saranan KKM bagi mengelakkan diri dijangkiti Covid-19.