X

Kindly register in order to view this article
!

Dr Mahathir, Mukhriz, empat lagi gagal kekalkan status quo

Gambar kiri: Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Maszlee Malik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima yang lain gagal mendapat injunksi ad-interim (sementara) untuk mengekalkan kedudukan mereka sebagai ahli serta pemegang jawatan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Lima yang lain itu ialah bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan Setiausaha Agung, Datuk Marzuki Yahya.

Ketika pendengaran injunksi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini di hadapan Hakim Datin Rohani Ismail, mahkamah juga menolak injunksi Mahathir, Mukhriz dan Marzuki untuk mengekalkan kedudukan mereka masing-masing sebagai Pengerusi, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung.

Peguam, Rosli Dahlan yang mewakili pemangku Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Kerja, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkata, mahkamah menolak injunksi itu berdasarkan prinsip perundangan.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon kepada mahkamah, supaya menggugurkan saman kerana ia bersifat remeh, melampau dan menyalahgunakan proses mahkamah.

“Ini kerana, menamakan Bersatu sebagai plaintif dalam saman adalah satu tindakan yang salah,” katanya.

Sementara itu, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr Mahathir dan lima yang lain berkata, permohonan injunksi ad-interim dibuat kerana prosiding injunksi utama tidak dapat dibuat hari ini.

“Kami mohon perisytiharan surat pemberhentian yang ditandatangani Muhammad Suhaimi dan pengesahan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bertarikh 4 Jun lalu adalah tidak sah,” katanya.

Haniff berkata, pihaknya juga menamakan parti itu selaku plaintif ketujuh dan mengemukakan saman terhadap Muhyiddin, Hamzah, Muhammad Suhaimi dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan.

Pada 8 Jun lalu, Dr Mahathir bersama Mukhriz dan lima yang lain memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung pemecatan keahlian serta jawatan mereka dalam parti itu.

Lima yang lain ialah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik, Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Marzuki Yahya dan parti itu sendiri selaku plaintif.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M, enam lain saman Muhyiddin dan RoS


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus