Teruja RTK Khas Kampung Orang Asli Gumum bakal dilaksana

Nashita Dewi menerima surat tawaran peserta RTK khas Kampung Orang Asli Gumum disampaikan Wan Rosdy.
Nashita Dewi menerima surat tawaran peserta RTK khas Kampung Orang Asli Gumum disampaikan Wan Rosdy.
A
A
A

PEKAN - Penerima surat tawaran Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Khas Kampung Orang Asli Gumum, Chini gembira dan teruja apabila terpilih menyertai program pembangunan tanah perintis yang akan dimajukan kerajaan negeri itu.

Rata-rata penerima dalam kalangan masyarakat Orang Asli tersebut bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri merealisasikan impian mereka sejak empat tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) kampung Orang Asli Gumum yang juga salah seorang penerima surat tawaran itu, Nashita Dewi K. Paramanantham, 30, berkata, permohonan bagi RTK khas berkenaan dibuat sejak tahun 2016 dan ia diluluskan pada tahun 2018.

Menurutnya, dia difahamkan pelaksanaan projek itu tertangguh selepas PRU14 lalu ekoran pertukaran kerajaan.

“Kami kemudian dimaklumkan oleh kerajaan negeri bulan lalu bahawa permohonan tanah seluas 800 ekar (323.75 hektar) bagi RTK khas ini telah diluluskan.

"Kami semua gembira kerana ia cukup bermakna dan satu pencapaian yang besar bagi JKKK kampung ini,"katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan surat tawaran kepada 133 peserta RTK Khas itu yang disampaikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kampung Orang Asli Gumum, Chini, petang semalam.

Nashita Dewi berkata, dia juga sedih dan terharu apabila bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun antara pemimpin yang mencetus idea untuk RTK Khas itu tidak bersama ketika projek tersebut dilaksanakan tidak lama lagi.

Nashita Dewi
Nashita Dewi

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi seorang lagi penerima, Juliana Puling,44, dia juga berkongsi perasaan sama apabila turut terpilih menerima surat tawaran untuk RTK Khas itu.

Katanya, mereka sudah berusaha dan menunggu sejak empat tahun lalu untuk melihat projek itu dilaksanakan.

"Usaha kami selama ini terbalas apabila menerima surat tawaran yang disampaikan menteri besar sendiri,"katanya.

RTK Khas itu merupakan program pembangunan tanah perintis yang dimajukan kerajaan negeri melalui syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) untuk membangun dan menguruskannya.

Seramai 133 peserta terpilih untuk menyertai program pembangunan tanah tersebut dengan setiap peserta akan menerima tanah seluas kira-kira 2.43 hektar.

Melalui RTK Khas itu, peserta akan menerima manfaat melalui dividen daripada hasil tanaman kelapa sawit yang diusahakan kelak.