Perkhidmatan RORO percepat penghantaran kenderaan ke Sarawak

Mohamad Nizar
Mohamad Nizar
A
A
A

KUANTAN – Perkhidmatan kapal roll-on/roll-off (RORO) dari Pelabuhan Kuantan ke Kuching, Sarawak mengambil masa pelayaran kira-kira satu hari 19 jam, sekali gus menyediakan alternatif penghantaran kenderaan ke Malaysia Timur.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, perkhidmatan itu dikendalikan Konsortium Perkapalan Timur menerusi kapal R.O. Queen itu dapat menjimatkan banyak masa dan kos logistik.

Menurutnya, sebelum ini pengeksport perlu menghantar kenderaan dari DRB-Hicom di Pekan ke Pelabuhan Klang menggunakan lori sebelum dibawa melalui kapal ke Sabah dan Sarawak.

"Penghantaran pertama melibatkan 17 kenderaan dan minggu ini saya difahamkan sebanyak 300 kenderaan dijadualkan dihantar ke Kuching menerusi perkhidmatan berkenaan.

"Kalau sebelum ini proses itu akan mengambil masa antara empat hingga enam hari, tetapi dengan perkhidmatan ini tempoh pelayaran hanya satu hari 19 jam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Hari Eksport Negeri Pahang anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sebuah hotel, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof dan Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.

Mohamad Nizar berkata, perkhidmatan berkenaan perlu diperluas kepada penghantaran kontena bagi menggalakkan lebih banyak perniagaan menggunakan kemudahan di Pelabuhan Kuantan.

Jelasnya, masih terdapat perniagaan yang berpangkalan di Kuantan dan Pekan menggunakan Pelabuhan Klang untuk menghantar barangan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Pokok pangkalnya kita ada satu pelabuhan yang besar yang kita boleh guna pakai, dan pelabuhan itu berada di Kuantan, dalam negeri Pahang.

“Kenapa tidak kita gunakan sebaik-baiknya kemudahan logistik yang kita ada?” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Nizar berkata, kerajaan negeri berhasrat memperkukuh kerjasama perdagangan dengan Sarawak dan meneroka peluang memperluas perkhidmatan perkapalan ke Sabah bagi mewujudkan hubungan perdagangan dua hala yang lebih aktif.

“Sebagai contoh, bagi Pahang, kita boleh menghantar produk seperti ikan patin dan sambal hitam ‘retort’ (siap dimakan) ke Sarawak, manakala negeri itu mempunyai produk seperti ikan terubuk masin yang boleh dipasarkan di Pahang.

“Kita berharap kerjasama ini dapat direalisasikan dan diperluas daripada perkhidmatan Ro-Ro kepada penghantaran kontena,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Nizar memberitahu, kerajaan negeri turut merancang pembangunan taman industri halal seluas sehingga 700 ekar di Gebeng, berhampiran Pelabuhan Kuantan.

Menurunya, bangunan taman industri itu masih memerlukan kemudahan infrastruktur asas termasuk jaringan pengangkutan, telekomunikasi dan penyimpanan rantaian sejuk bagi menarik pelabur.

Katanya, skop industri halal bukan sahaja melibatkan pembuatan makanan, malah merangkumi bahan ramuan, kosmetik dan peralatan.

“Kita sedang memohon kepada kerajaan supaya mempertimbangkan pemberian dana bagi pembangunan infrastruktur.

“Pada masa sama, kita masih terbuka sekiranya ada pihak luar negeri yang ingin melabur di situ, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!