Pakar bimbang pelanggan restoran tidak patuh penjarakan sosial

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk tidak menetapkan had jumlah pelanggan yang dibenarkan duduk di meja makan restoran atau kedai makan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilihat agak tergesa-gesa.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, kerajaan sepatutnya menangguhkan untuk tempoh seminggu dua lagi sebelum meneruskan perkara tersebut.

Beliau berkata, walaupun trend data kes jangkitan koronavirus (Covid-19) ketika ini terkawal, bagaimanapun kelonggaran dalam hal restoran agak merisaukan.

“Saya beri perbandingan, jika dalam pengangkutan awam kita tahu amalan penjarakan sosial serta pemakaian topeng muka itu amat dititikberatkan, malah turut disediakan cecair pembasmi kuman.

“Jika di restoran atau kedai makan ini, saya agak skeptikal tambah lagi kalau di meja makan sudah tidak ada penetapan had jumlah pelanggan.

“Lebih membimbangkan jika kena makan satu meja bersama pelanggan daripada keluarga lain,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan tidak lagi menetapkan had jumlah pelanggan duduk di meja makan restoran bagi tempoh PKPP, sebaliknya pelanggan boleh duduk sekali berdasarkan saiz meja.

Kata Dr Malina, sebaiknya kerajaan mengambil pendekatan tunggu dahulu dan jika selepas dua minggu ini kes jangkitan Covid-19 benar-benar terkawal atau tiada kes baharu dilaporkan, bolehlah kerajaan meneruskan kelonggaran di restoran atau kedai makan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas kelonggaran kanak-kanak pergi ke pusat beli-belah atau pasar raya, beliau berkata, hal itu tidak membimbangkan kerana kanak-kanak adalah golongan yang paling rendah terkesan dan tiada laporan kematian dicatatkan berkaitan Covid-19 di Malaysia.

“Secara umum, kelonggaran itu boleh dilaksanakan untuk kanak-kanak, cuma ibu bapa kena pantau pergerakan anak-anak agar tidak mendedahkan mereka kepada jangkitan wabak tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, pakar epidemiologi Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, kelonggaran itu boleh dilaksanakan sekiranya syarat penjarakan sosial dipatuhi pemilik restoran serta pelanggan.

Namun, katanya, pihak pengurusan restoran perlu juga melihat kepada saiz meja yang dimaksudkan dan jika sesebuah meja boleh memuatkan 10 orang, mungkin hanya empat atau enam orang boleh duduk pada satu masa.

“Jadi kita perlu lihat berapa besar meja itu sebenarnya.

“Kadang-kadang sesebuah meja dikatakan boleh memuatkan 10 orang tetapi kelonggaran baharu itu (tiada penetapan jumlah had pelanggan), mungkin bermakna pelanggan terpaksa berhimpit dan duduk rapat.

“Jika itu berlaku, ia tidak memenuhi syarat penjarakkan fizikal,” katanya.