Penyokong Bersatu pro Tun M lancar kempen 'blackout'

Syed Saddiq bertindak menukar gambar profil laman Twitter peribadinya kepada logo Bersatu berwarna hitam putih sebagai simbolik bantahan terhadap parti itu semalam.
Syed Saddiq bertindak menukar gambar profil laman Twitter peribadinya kepada logo Bersatu berwarna hitam putih sebagai simbolik bantahan terhadap parti itu semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebilangan penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pro Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan kempen 'blackout' dengan menukar warna logo parti itu kepada warna hitam putih sejak semalam.

Inisiatif itu dimulakan oleh sebuah akaun Facebook Bersatu.TV yang mempunyai lebih 17,000 pengikut sebagai tanda protes bagi memastikan parti itu kembali ke agenda perjuangan asal.

Dalam satu hantaran di laman Facebook pentadbir akaun itu, kempen protes itu didakwa mendapat persetujuan Dr Mahathir yang juga merupakan pengerusi parti itu yang dipertikai.

"Dipersetujui oleh TDM (Mahathir) sebentar tadi, sebagai tanda bantahan kita semua dan sokongan terhadap beliau, semua profile page FB (laman profil Facebook), Instagram dan Twitter anda semua diletakkan logo Bersatu blackout.

“Ini sebagai tanda protes daripada ahli-ahli yang kekal bersatu, berprinsip dan bermaruah sehingga parti dapat dipulihkan kembali ke landasan asal perjuangan,” kata laman itu menerusi hantaran di Facebook semalam.

Salah seorang penyokong Bersatu pro Dr Mahathir menggesa ahli parti itu menukar gambar profil aplikasi sosial masing-masing kepada logo Bersatu warna hitam putih.
Salah seorang penyokong Bersatu pro Dr Mahathir menggesa ahli parti itu menukar gambar profil aplikasi sosial masing-masing kepada logo Bersatu warna hitam putih.

Kempen protes itu turut dilihat mendapat sokongan beberapa pemimpin Bersatu yang pro Dr Mahathir apabila mereka mula memuat naikkan logo berkenaan di media sosial masing-masing seraya meletakkan tanda pagar #bersatublackout #kekalberprinsip #selamatkanbersatu.

Pemimpin-pemimpin terbabit terdiri Timbalan Presiden Bersatu dipertikai, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Setiausaha Agung parti dipertikaikan, Datuk Marzuki Yahya; Ketua Pemuda Armada Bersatu dipertikaikan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Artikel Berkaitan:

Perpecahan yang berlaku dalam Bersatu bermula sejak parti itu memutuskan ikatan dengan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya bekerjasama dengan UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta fraksi kumpulan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Tindakan kumpulan menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminggirkan saranan Dr Mahathir untuk parti itu kekal bersama PH mencetuskan pergolakan dalaman dengan akhirnya Pengerusi parti dipertikaikan itu dipecat bersama beberapa ahli dan pemimpin lain.