Covid-19: Jangan guna Dexamethasone tanpa preskripsi doktor

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran kepada orang awam agar tidak menggunakan ubat steriod, Dexamethasone tanpa preskripsi doktor.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ubat berkenaan mempunyai kesan sampingan dan perlu diimbangi dengan keperluan penggunaan ubat.

"KKM menyeru orang ramai supaya waspada agar tidak menyalahgunakan atau mengambil ubat ini tanpa preskripsi daripada doktor," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, Dexamethasone digunakan untuk mengurangkan radang (inflammation) dalam pelbagai penyakit.

"KKM mengambil maklum perkembangan awal ujian klinikal (iaitu randomised clinical trial) ubat Dexamethasone dalam rawatan Covid-19 yang dikenali sebagai Recovery Trial di University of Oxford, United Kingdom," katanya.

Beliau berkata, hasil dapatan awal Recovery Trial menunjukkan ubat tersebut dapat mengurangkan risiko kematian iaitu sehingga satu pertiga dalam kalangan pesakit Covid-19 yang mempunyai gejala pernafasan serius terutamanya mereka yang memerlukan bantuan pernafasan.

"Namun begitu ujian klinikal ini juga mendapati bahawa ubat ini tidak membantu dalam rawatan pesakit Covid-19 yang hanya mempunyai gejala ringan atau pesakit tidak memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM sememangnya menggunakan ubat tersebut kepada pesakit Covid-19 di tahap lima.

Artikel Berkaitan:

"Penggunaannya sebanyak 4mg tiga kali sehari," katanya sambil mengucapkan penghargaan kepada Universiti Oxford terhadap hasil penemuan saintifik tersebut.