X

Kindly register in order to view this article
!

LPP bantu tingkat ekonomi peladang

Zamri yang mengusahakan tanaman durian musang king sejak tujuh tahun lalu kini memiliki 13 buah nurseri anak benih musang king di seluruh Malaysia.FOTO: ROSLI TALIB
A
A

RAUB - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan terus memainkan peranan bagi membantu meningkatkan ekonomi masyarakat peladang sepanjang dan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pengarahnya, Azulita Salim berkata, demi membantu masyarakat peladang, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bagi memperkasa industri pertanian dan makanan.

Menurutnya, setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) akan menerima peruntukan sehingga maksimum sebanyak RM200,000 bagi setiap permohonan untuk memberi faedah kepada ahli Pertubuhan Peladang.

“Skop projek yang telah diluluskan merangkumi projek-projek tanaman ternakan dan ternak air di seluruh Malaysia.

“Peruntukan Dana Khas Pertubuhan Peladang berjumlah RM39.567 juta akan diberikan kepada LPP negeri dalam masa terdekat untuk disalurkan kepada Pertubuhan Peladang seluruh Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Program Walk-About Ketua Pengarah LPP bersama rakan media di ladang durian usahawan peladang, Zamri Othman di Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong di sini semalam.

Azulita berkata, sumber bantuan tersebut akan ditambah melalui Dana Agromakanan yang juga diumumkan oleh Muhyiddin dan akan disalurkan secara berperingkat demi kelangsungan pergerakan Pertubuhan Peladang dan ahli.

Azulita (dua dari kanan) menanam pokok durian musang king sempena Program Walk-About Ketua Pengarah LPP bersama rakan media di Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong dekat Raub semalam.
Azulita (dua dari kanan) menanam pokok durian musang king sempena Program Walk-About Ketua Pengarah LPP bersama rakan media di Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong dekat Raub semalam.

Sementara itu, beliau berkata, melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 1 berjumlah RM2 juta, sebanyak 19 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Jentera dapat menaik taraf dan menambah hayat mekanisasi ladang sedia ada iaitu sebanyak 21 unit traktor dan 23 unit jentuai bagi memastikan keperluan jentera adalah mencukupi.

Menurutnya, melalui peruntukan tersebut, jangka hayat traktor dan jentuai boleh ditambah kepada tiga hingga lima tahun pengoperasian.

Mengulas lanjut, katanya, melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (Program Mobilisasi dan Logistik Bahan Makanan) berjumlah RM10 juta, sebanyak 53 Pertubuhan Peladang di seluruh negeri di bawah pengendalian LPP akan dinaik taraf dengan kelengkapan pemasaran yang bertujuan dapat meningkatkan kapasiti jualan bagi memenuhi pengeluaran hasil yang dikeluarkan oleh ahli peladang.

Moratorium

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang di-umum oleh Perdana Menteri pada 18 Mac yang lalu, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah memberikan pelbagai bantuan bagi membantu dan meningkatkan ekonomi ahli peladang.

Azulita berkata, bantuan yang diberikan termasuk pemberian moratorium kepada penerima pembiayaan secara pinjaman.

“LPP tidak terkecuali memberikan moratorium kepada usahawan peladang yang meminjam di bawah Tabung Pembangunan Usaha Niaga Peladang.

“Buat masa ini, semua usahawan peladang yang memohon moratorium telah ditangguhkan tempoh bayaran balik sehingga September 2020,” katanya.

Beliau berkata, kesan daripada penularan koronavirus (Covid-19) dan wujudnya normal baharu, LPP perlu melihat kaedah yang terbaik untuk memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.

“Kesan dan pengajaran yang kita pelajari daripada Covid-19 adalah kita ambil ‘kesempatan’ bagi memastikan perkhidmatan yang efisien supaya kita dapat memasarkan barangan dengan lebih baik,” kata beliau.

Miliki 13 nurseri anak benih

Bantuan pinjaman Tabung Pembangunan Usaha Niaga Peladang yang diberikan kepada pemilik Zamri Agro Farm, Zamri Othman, 45, dua tahun lalu membolehkan pengusaha durian itu mengembangkan perniagaan nurseri anak benih durian musang king bukan sahaja di Raub, malah di seluruh Malaysia.

Bantuan pembiayaan sebanyak RM80,000 yang disediakan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) membuka ruang kepada pengusaha ladang durian berkenaan meluaskan sektor pertanian yang diceburi.

Zamri kini memiliki sebanyak 13 nurseri anak benih musang king termasuk di Sabah dan Sarawak.

Beliau yang mengusahakan lebih 400 pokok durian termasuk musang king, duri hitam dan jenis-jenis lain berkata, LPP dan Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) banyak membantunya mengembangkan industri pertanian yang diceburi.

“Saya berterima kasih kepada LPP dan Jabatan Pertanian yang banyak membantu,” katanya.

Zamri yang turut mengusahakan tanaman pisang dan ternakan ikan kelah berkata, ladangnya memperoleh pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dari segi kualiti dan rasa.

“Dengan adanya MyGAP, ia bermakna segala hasil boleh dimakan tanpa waswas. Penting untuk jaga kualiti buah bagi mendapatkan hasil lumayan.

“Kini saya lebih tumpukan kepada penghasilan benih, memberi tunjuk ajar teknik membaja dan sistem pengairan yang betul kepada sesiapa yang membeli benih,” katanya sambil menambah, tanaman durian tidak susah diusahakan jika dilakukan dengan teknik yang betul.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!