Petronas bantu tingkat kecemerlangan pelajar

Mohamad Ahmad Shazly (tengah) bergambar dengan para penerima.
Mohamad Ahmad Shazly (tengah) bergambar dengan para penerima.
A
A
A

YAYASAN Petronas tampil membantu usaha kerajaan dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan melalui sumbangan kelengkapan persekolahan kepada 5,040 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di tiga negeri Pantai Timur.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohamad Ahmad Shazly Ramli, berkata, sumbangan disampaikan menerusi program Memperkasakan Ilmu: Back to School 2023 (BTS 2023) di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Daripada jumlah itu, seramai 2,520 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah menerima sumbangan di 10 daerah di Kelantan.

“Di Terengganu melibatkan 1,680 pelajar dan di Pahang seramai 840 pelajar,” katanya di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Kelantan, Azhar Salleh yang menyampaikan sumbangan itu.

Ahmad Shazly berkata, sumbangan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri

“Setiap pelajar menerima satu set seragam sekolah, kasut, pakaian sukan dan alat tulis.

“Sebagai tambahan, pelajar sekolah menengah menerima sebuah kalkulator saintifik,” ujar beliau.

Mohammad Ahmad Shazly memberitahu syarikat itu akan terus komited dalam menghulurkan sumbangan demi kecemerlangan pendidikan negara.

“Justeru, kami berharap sumbangan yang disampaikan, mampu membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk terus gigih dan aktif menuntut ilmu.

“Kejayaan mereka akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara,” tambah beliau.