Anak disyaki bunuh bapa guna tombak sawit ditahan

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Polis menahan seorang lelaki dipercayai membunuh bapa kandungnya menggunakan tombak sawit dalam kejadian di kawasan rumah ladang di Kampung Ulu Teburi, Tungku dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditangkap penduduk kampung pada 2 petang di rumah ibu saudara isterinya di kampung yang sama, lapan jam selepas kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang mabuk telah berselisih faham dengan suspek serta bertindak menyerang suspek dengan parang.

"Ekoran itu, suspek melarikan diri ke arah lori dan mengambil tombak sawit di tempat duduk pemandu sebelum membalas dengan memukul mangsa beberapa kali menggunakan tombak itu," katanya dalam satu kenyataan.

Nasri berkata, pukulan itu terkena kepala dan beberapa anggota badan mangsa berusia 62 tahun tersebut dan menyebabkan mangsa jatuh ke bawah bukit.

Kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: