X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19 percepat agenda digital: Mustapa

Mustapa Mohamed - Foto Bernama Radio
A
A

KUALA LUMPUR - Covid-19 bukan hanya mempercepat agenda pendigitalan negara tetapi juga meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia menggunakan platform digital dalam urusan seharian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun pandemik itu merupakan krisis kesihatan yang amat serius, ia juga menyediakan kesepakatan untuk mara ke hadapan mencapai agenda digital, terutamanya bagi menjadikan rakyat lebih mesra digital.

"Kita telah mengubah cara kita melakukan sesuatu, kita bekerja dari rumah...kita banyak melakukan urusan dalam talian, itu merupakan penggerak utama bagi kerajaan untuk mempercepat pendigitalan,” katanya dalam ucap tama beliau semasa Forum NEC Roland Berger Live dengan tajuk ‘Mempercepat ID Digital bagi Membolehkan Ekonomi Digital dalam Norma Baharu’ di sini, hari ini.

Forum itu yang dihoskan oleh NEC Corporation juga disertai Pengarah Urusan NEC Malaysia Chong Kai Wooi, Ketua NEC Consulting Walter Lee, Ketua Pegawai Strategi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Datuk Fadzli Shah Anuar serta Ketua Penyelidik dan Felo Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr. Shankaran Nambiar.

Antara isu kritikal yang dibincangkan ialah bagaimana penggunaan teknologi maklumat (IT) boleh menarik pelabur asing ke Malaysia, mengapa ID digital penting dalam norma baharu ekonomi digital, bagaimana ID digital memberi impak kepada Malaysia, bagaimana untuk memanfaatkan kuasa ID digital dan bagaimana menggunakan teknologi untuk memulakan perniagaan.

Selain itu, Mustapa berkata, semasa krisis Covid-19, kerajaan berdepan dengan cabaran apabila beberapa agensi kerajaan masih belum bersedia dari segi digital.

"Jadi, ini antara beberapa pengajaran yang kita pelajari menuju ke masa depan, Sudah tentunya, kita bertekad untuk memastikan Malaysia memanfaatkan sepenuhnya landskap yang berubah ini.

"Kita berharap dapat memastikan setiap rakyat Malaysia bersedia dari segi digital, kami bersedia untuk melakukan perniagaan dengan yang lain...kami ingin mempelawa pelabur melabur di Malaysia, kami bekerjasama dengan rakan kongsi dari luar negara, kami mahu melakukan lebih lagi bagi meningkatkan agenda digital.

“Sudah pastinya, kejayaan negara akan banyak bergantung kepada sepantas mana kita menyesuaikan diri dengan norma baharu ini,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!