Agong berkenan ziarah Kompleks Asnaf MUIP

Al-Sultan Abdullah turut meninjau keadaan asrama penghuni dan mengurniakan sumbangan kepada penghuni kompleks berkenaan. FOTO: FB Istana Negara
Al-Sultan Abdullah turut meninjau keadaan asrama penghuni dan mengurniakan sumbangan kepada penghuni kompleks berkenaan. FOTO: FB Istana Negara
A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menziarahi Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Sungai Soi di sini, yang menempatkan 40 individu kurang bernasib baik.

Al-Sultan Abdullah yang memandu sendiri kenderaan untuk ke kompleks itu, tiba pada kira-kira jam 12.50 tengah hari dan disambut oleh Setiausaha MUIP Datuk Ahmad Hairi Hussain dan pengurus kompleks Nor Rosyidah Mohamed Tahir.

Dalam titah ringkas Seri Paduka, baginda berkongsi tentang bahaya pandemik wabak koronavirus (Covid-19) dan menasihatkan semua penghuni untuk turut sama membantu usaha kerajaan menamatkan penularan wabak tersebut.

"Saya minta semua penghuni di sini untuk sama-sama menjaga kesihatan dan kebersihan seperti selalu membasuh tangan. Jaga-jaga supaya wabak Covid-19 tidak sampai ke sini," titah Seri Paduka.

Pada kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah turut meninjau keadaan asrama penghuni dan mengurniakan sumbangan kepada penghuni kompleks yang beroperasi sejak tahun 2010 itu dan kini menempatkan penghuni yang berusia antara dua tahun hingga 95 tahun.

Sementara itu, seorang daripada penghuni Abdul Latif Lim Abdullah, 44, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mengakui teruja untuk bertemu Al-Sultan Abdullah yang sebelum ini hanya dilihatnya di kaca televisyen.

"Saya terkejut juga bila dapat lihat Seri Paduka di depan mata dan sebenarnya agak kekok untuk berada di depan Seri Paduka kerana saya tidak biasa berada begitu dekat dengan orang kenamaan," katanya kepada Bernama.

Norsalmiah Boon, 47, pula menyifatkan kunjungan Al-Sultan Abdullah sebagai pemberi semangat kepada dirinya dan rakan tidak bernasib baik di situ selain tersentuh melihat keperibadian Seri Paduka menyantuni mereka.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat Pahang sudah sedia maklum dengan keperibadian keluarga Diraja Pahang yang sangat mengambil berat perihal rakyat dan hari ini, saya berpeluang menyaksikannya sendiri. Al-Sultan Abdullah sendiri bertanya tentang keadaan kami di sini.

"Walaupun kami ini orang yang kurang bernasib baik tetapi saya berasakan kami adalah antara yang bertuah kerana berpeluang dapat berjumpa dengan Seri Paduka. Ini juga rezeki yang tidak disangka," katanya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyantuni dua keluarga kurang bernasib baik di Pekan, dekat sini pada Program Ziarah Kurniaan Ampun Kasih anjuran MUIP. - Bernama