Perbicaraan kes pinda laporan audit 1MDB diteruskan

Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pindaan audit laporan 1MDB hari ini.
Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pindaan audit laporan 1MDB hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diteruskan biarpun terdapat permohonan untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan, beberapa hari lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan berkata, ini kerana isu yang diketengahkan hanya menyentuh permohonan untuk pengguguran seorang pendakwa raya, bukannya seorang hakim.

Sehubungan itu katanya, perbicaraan tersebut boleh berlangsung sebagaimana yang telah ditetapkan.

“Kita ketepikan dahulu berhubung hal pengguguran seseorang individu mahupun menyentuh isu penghinaan mahkamah.

“Perbicaraan boleh dijalankan seperti jadual yang ditetapkan,” katanya selepas peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon untuk menangguhkan perbicaraan sehingga isu berkenaan selesai.

Muhammad Shafee menjelaskan kepada mahkamah mengenai afidavit yang difailkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung tindakan Sri Ram cuba memujuknya untuk menangkap Najib.

Muhammad Shafee berkata, mana-mana pihak pendakwaan yang terlibat dalam perkara seperti itu tidak boleh berada sama dalam perbicaraan kes yang dituduh.

“Beliau perlu digugurkan, sesuai dengan perhatian daripada orang awam terhadap kes ini sejak dahulu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Disember 2018, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Beliau didakwa, atas kapasitinya sebagai perdana menteri ketika itu, menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan tersebut dituduh melakukan kesalahan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB, di tempat dan masa yang sama dan mengikut Seksyen 28 (1) (c ) Akta SPRM 2009 dibaca dengan Seksyen 23 (1) & 24 (1) akta yang sama yang memberikan hukuman yang sama, jika didapati bersalah.

Setakat ini, tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.