Guru bawa pulang Proton X70 Premium

Siti Sara bersama anak-anak gembira kerana terpilih sebagai pemenang utama Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2019.
Siti Sara bersama anak-anak gembira kerana terpilih sebagai pemenang utama Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2019.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Widuri di Nibong Tebal, Pulau Pinang memenangi kenderaan utiliti sukan Proton X70 Premium selepas membuka akaun dan membuat simpanan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) kelolaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak dua tahun lalu.

Siti Sara Arshad, 53, berkata, hadiah itu sesuatu yang istimewa, apatah lagi beliau sememangnya berhasrat memiliki kereta baharu.

Menurutnya, beliau sebelum ini bercadang untuk memberikan salah sebuah kereta miliknya yang sedia ada kepada seorang anaknya yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi.

“Tak sangka pula rezeki datang bergolek apabila saya terpilih memenangi hadiah utama ini. Jadi, kereta yang saya gunakan ke tempat kerja bolehlah diberikan kepada anak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Sesi Penyampaian Hadiah Pemenang Utama Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2019 di Superior Regar Sdn Bhd, Bukit Rotan di sini kelmarin.

No Image Caption

Siti Sara berkata, kemenangan itu amat bermakna dan disifatkannya sebagai hadiah istimewa sejak bergelar pendidik 29 tahun lalu.

“Saya anggap ini sebagai hadiah sempena Hari Guru yang diraikan hampir sebulan lalu. Memang saya tak sangka akan memenangi hadiah ini.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya, kalau cikgu diberi hadiah sebatang pen pun sungguh seronok, apatah lagi dapat kereta baharu yang harganya mungkin lebih RM100,000,” kata beliau.

Menurut Siti Sara, beliau menabung sebanyak RM320 sebulan sebagai wang simpanan semua ahli keluarganya demi jaminan masa depan.

“Saya memperuntukkan RM30 sebulan dalam setiap akaun empat anak melalui SSPN-i Plus. Saya dan suami pula konsisten menabung RM100 sebulan,” ceritanya.

SSPN tawar pelbagai keistimewaan, manfaat

Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, simpanan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit seperti dividen kompetitif, pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun dan Geran Sepadan sehingga RM10,000.

“Keistimewaan lain ialah perlindungan takaful termasuk khairat kematian, komitmen serendah RM20 sebulan serta pendeposit layak memohon pinjaman PTPTN,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun, PTPTN mempromosikan SSPN secara berterusan bagi menggalakkan masyarakat membuat simpanan di samping pihaknya menghargai pendeposit yang membuat simpanan secara konsisten.

Istimewa sempena Aidilfitri 2020, PTPTN turut menawarkan promosi Aidilfitri iaitu Jom Beraya Jom Menyimpan bersama SSPN sejak 18 Mei lalu hingga 30 Jun 2020.

Seramai 1,015 pendeposit SSPN berpeluang memenangi hadiah berbentuk duit raya SSPN dengan jumlah keseluruhan RM261,000.

“Jadikan SSPN sebagai pilihan utama untuk menyimpan duit raya anak-anak kita. Pembukaan akaun atau penambahan simpanan SSPN boleh dibuat secara online dengan mudah di www.lovesspn.com,” katanya.

“Sejak SSPN dilancarkan sehingga Mac 2020, jumlah keseluruhan deposit terkumpul mencecah RM6.27 bilion dengan sebanyak 4.46 juta akaun yang telah dibuka.

“Jumlah deposit SSPN bagi tempoh Januari hingga Mac 2020 adalah RM385.34 juta berbanding RM250.32 juta bagi tempoh sama pada tahun 2019 iaitu peningkatan RM135.02 juta atau 53.94 peratus,” katanya lagi.