Pelancongan, pertanian bangunkan semula ekonomi Kejora

Produk pelancongan desa yang menjadi sebahagian identiti Kejora sekali gus memberi impak secara terus kepada penduduk. Gambar hiasan. Gambar kecail:Abd Latiff Ahmad.
Produk pelancongan desa yang menjadi sebahagian identiti Kejora sekali gus memberi impak secara terus kepada penduduk. Gambar hiasan. Gambar kecail:Abd Latiff Ahmad.
A
A
A

KOTA TINGGI - Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) akan memberi tumpuan kepada pembangunan produk pelancongan desa bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk di wilayah itu selepas pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, pelancongan desa yang menjadi sebahagian identiti Kejora di daerah ini akan memberi impak secara terus kepada mereka.

"Antara produk menarik Kejora termasuk tanah lembab di Kampung Belukar Durian, Sedili Kecil; Muzium Nelayan Tanjung Balau, Pembangunan Pusat Penternakan dan Penetasan Belangkas di Sedili Kecil selain Kubu British Perang Dunia ke-2 di Pengerang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan kerja pasca pandemik koronavirus (Covid-19) meninjau kemajuan dan menilai semula pembangunan di wilayah itu sesuai pakej prihatin rakyat yang diumumkan kerajaan untuk merangsang ekonomi di wilayah Kejora di sini hari ini.

Menurutnya, Kejora juga memberi fokus kepada pertanian di kawasan seluas kira-kira 809 hektar dalam usaha menjadi penyumbang kepada industri pengeluaran makanan negara.

"Program keusahawanan juga penting dalam usaha kerajaan menjana ekonomi rakyat dan aktiviti di bawah Program Peningkatan Pendapatan Kejora melibatkan beberapa skim serta projek antaranya Skim Bantuan Modal Niaga (SBMN) dan projek ternakan madu lebah Kelulut.

"Antara program pertanian Kejora melibatkan tanaman campuran, projek ladang buah berskala besar dan pembangunan akuakultur," katanya.

Selain itu katanya, aktiviti di bawah program promosi dan pemasaran diberikan tumpuan menerusi penyertaan dalam ekspo dan karnival serta program transformasi kualiti produk (pembungkusan dan pelabelan).

Artikel Berkaitan:

Abd Latiff berkata, program pembangunan Kejora secara keseluruhan memberi fokus pembangunan bandar dan penempatan (perumahan), penyediaan infrastruktur dan kemudahan, pembangunan pelancongan, pembangunan usahawan, pembangunan pertanian, pembangunan industri dan pembangunan modal insan.