X

Kindly register in order to view this article
!

Letak jawatan ADUN Sementa jika bermaruah: Amirudin

Amirudin Shari
A
A

SHAH ALAM - Dr Daroyah Alwi digesa meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa sekiranya masih bermaruah susulan tindakannya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan ADUN Sementa yang mengambil keputusan untuk keluar parti itu dikecam sekeras-kerasnya.

"Susulan peletakan jawatan beliau, saya menggesa Dr Daroyah untuk segera meletak jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa sekiranya masih bermaruah.

"Peletakan jawatan beliau selaku Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan diuruskan oleh Pejabat Dewan Negeri Selangor melalui Speaker selanjutnya," katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, tindakan tersebut disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat yang telah memberi mandat jelas kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir negeri Selangor melalui Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

"Keutamaan kerajaan negeri Selangor pada masa ini adalah untuk menggembleng inisiatif membantu rakyat Selangor yang terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19.

"Saya yakin keseluruhan ADUN PKR serta semua lapisan jentera terutamanya ketua-ketua cabang PKR merasa mual dengan politik separa matang yang tidak berkesudahan.

"PKR dan PH Selangor beriltizam berkhidmat sedaya-upaya demi menghormati mandat rakyat," katanya.

Terdahulu, Dr Daroyah mengumumkan keluar PKR berkuat kuasa semalam.

Beliau yang juga Timbalan Speaker DUN Selangor berkata, keputusan itu dibuat kerana sudah hilang rasa yakin dan percaya kepada Presiden juga pimpinan parti.

"Saya sudah hilang rasa yakin dan percaya kepada Presiden juga pimpinan parti yang alpa tentang idealisme perjuangan serta hala tuju parti, yang kini lebih membawa kepada perpecahan parti.

"Presiden parti dan pentaksubnya juga telah dilihat gagal menjalankan amanah majoriti anggota yang memilih mereka," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Sementa umum keluar PKR


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!