ADUN Sementa umum keluar PKR

Selain Daroyah, turut keluar parti adalah seramai 13 pimpinan Wanita PKR Selangor dan 43 pimpinan Cabang Kapar termasuk Angkatan Muda Keadilan Cabang Kapar dan Srikandi Cabang Kapar.
Selain Daroyah, turut keluar parti adalah seramai 13 pimpinan Wanita PKR Selangor dan 43 pimpinan Cabang Kapar termasuk Angkatan Muda Keadilan Cabang Kapar dan Srikandi Cabang Kapar.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan meletakkan kesemua jawatan dalam parti itu berkuat kuasa hari ini.

Beliau turut mengumumkan tidak akan menyertai mana-mana parti dan hanya bertindak sebagai wakil rakyat bebas yang 'mesra' Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat berkata, keputusan tersebut dibuat kerana sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu diterajui Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya tidak mahu terlibat atau dikaitkan dalam kancah perebutan kuasa politik mahupun dalam pembuangan anggota beramai-ramai.

"Saya percaya, dengan peletakan jawatan saya dalam PKR dengan pengumuman keluar parti ini, saya tidak lagi diheret dengan masalah perebutan kuasa dalam parti," katanya ketika sidang akhbar khas beliau dan Wanita PKR Selangor bertempat di Hotel Concorde di sini hari ini.

Selain Daroyah, turut keluar parti adalah seramai 13 pimpinan Wanita PKR Selangor dan 43 pimpinan Cabang Kapar termasuk Angkatan Muda Keadilan Cabang Kapar dan Srikandi Cabang Kapar.

Beliau turut yakin tindakan keluar parti itu juga akan disusuli dengan lebih ramai lagi anggota PKR yang dijangka mengambil keputusan sama selepas ini.

Mengulas lanjut, Dr Daroyah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor turut meluahkan rasa terkilan dan kecewa terhadap isu dalaman PKR khususnya pemecatan dan penggantungan anggota sebelum ini apabila melibatkan rakan-rakan seperjuangan yang telah lama memperkasa parti dan organisasi sejak awal penubuhan Parti Keadilan Nasional pada 1999.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keputusan parti itu juga telah meruntuhkan permuafakatan dibina selama ini apatah lagi perjuangan PKR ketika ini seolah-olah bukan lagi untuk agenda reformasi tetapi untuk mendapatkan kepentingan kuasa semata-mata.

"Saya sendiri telah menerima notis tunjuk sebab bertarikh 15 Mei lalu kerana usaha mempertahankan barisan kepimpinan wanita yang dikenakan tindakan tidak adil dan luahan kebimbangan saya tentang pengurusan parti yang sangat kelam-kabut juga tidak teratur," katanya.

Dalam masa sama, susulan pengumuman tersebut, beliau memberitahu akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasannya dengan sebaik mungkin walaupun tidak lagi mewakili mana-mana parti.

"Saya bertekad untuk terus menjalankan tugas dan memberi sepenuh komitmen dalam memberikan perkhidmatan yang lebih efektif kepada masyarakat di kawasan yang saya wakili sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor," katanya.